Malaysia Dateline

Pas sambut baik DAP sedia sokong akta antilompat parti

Pas menyambut baik kesediaan DAP untuk menyokong kerajaan dalam pindaan Perlembagaan yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, khususnya bagi merealisasikan undang-undang berkaitan antilompat parti.

Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad, berkata Pas secara asas bersetuju dengan undang-undang antilompat parti kerana yakin ia memberikan kestabilan kepada negara.

Bahkan, tegasnya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di bawah pentadbiran Pas turut telah meminda perlembagaan negeri dan meluluskan undang-undang antilompat parti yang berkuat kuasa secara retrospektif sejak November 1990 lagi.

“Maknanya kami sudah nampak perbuatan itu (lompat parti) boleh memberi mudarat kepada politik negara.

“Dalam keadaan sekarang, Pas menyambut baik sebarang kerjasama yang dihulurkan sesiapa sahaja termasuk parti pembangkang untuk memastikan kita dapat membentuk suasana politik yang stabil,” lapor BH hari ini.

Menurutnya, sokongan awal DAP itu juga diharap dapat menghentikan politik berlebihan dan membuka ruang kepada lebih banyak kerjasama rentas parti.

“Semua pihak perlu beri peluang kepada kerajaan yang terbukti memiliki majoriti dan apabila negara dapat dikeluarkan daripada masalah Covid-19, pilihan raya umum boleh diadakan secepat mungkin.

“Ini juga bertepatan dengan titah Yang di-Pertuan Agong supaya semua parti memberi kerjasama kepada kerajaan terutama dalam aspek wabak Covid-19 yang masih serius,” kata Kamaruzaman lagi.