Malaysia Dateline

Pas sambut baik kerajaan tubuh jawatankuasa perkasa Mahkamah Syariah

Menurut Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, langkah ini diharapkan dapat mengatasi puluhan kes yang tertunggak di Mahkamah Syariah disebabkan kekurangan kakitangan, hakim serta kemudahan yang sangat terhad kini.

“Langkah ini bertepatan dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Negara.

“Mahkamah Syariah merupakan institusi kehakiman paling awal wujud dalam negara ini, dan perkembangannya terhenti setelah negara dijajah oleh British yang telah mencabut akar umbi kepada kekuatan syariat Islam.

“Usaha memperkasakan Mahkamah Syariah ini diharap akan dapat mengatasi puluhan kes yang tertunggak di Mahkamah Syariah disebabkan kekurangan kakitangan, hakim serta kemudahan yang sangat terhad kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini berkata penubuhan jawatankuasa khas berkenaan dipersetujui pada Mesyuarat Jemaah Menteri semalam.

Beliau berkata inisiatif itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam usaha memperkasakan Mahkamah Syariah secara holistik demi kepentingan umat Islam dan keprihatinan kerajaan terhadap semua input yang diterima daripada semua pihak.

“JKMMS merupakan satu platform yang berwibawa bagi menambah baik sistem perundangan kehakiman syariah sedia ada, katanya dalam kenyataan hari ini.

Jamil Khir berkata beberapa kluster akan diwujudkan di bawah jawatankuasa ini membincangkan perkara berkaitan pengharmonian antara undang-undang sivil dan syariah; cadangan pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355); pengurusan dan penstrukturan Mahkamah Syariah; latihan hakim dan pegawai syariah; pendidikan undang-undang syariah; dan hal ehwal berkaitan peguam syari’e.

Beliau berkata jawatankuasa berkenaan akan dianggotai wakil majlis agama Islam negeri-negeri, ahli akademik, wakil Jabatan Peguam Negara dan aktivis masyarakat, mantan pimpinan tertinggi sektor awam serta tokoh-tokoh berwibawa dalam hal perundangan di Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.