Malaysia Dateline

Pas sambut baik ‘tawaran baru’, tolak pendekatan ekstrem

Pas menyambut baik saranan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Perikatan Nasional (PN) adalah suatu “tawaran baharu” kepada rakyat Malaysia.

Presiden Pas, Abdul Hadi Awang berkata, tawaran itu demi memastikan kebajikan rakyat terjamin, mewujudkan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan mengekalkan keharmonian antara kaum.

“Pas berpegang kepada prinsip Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang, konsep adil untuk semua, kepimpinan berintegriti dan berakhlak budiman serta mengambil pendekatan politik yang menyatukan ummah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Pas menyeru semua pihak supaya mendukung pendekatan sederhana, prihatin rakyat dan berkebajikan yang dibawa oleh PN dan menolak pendekatan ekstrem, oportunis dan melampau yang tidak sesuai dengan negara Malaysia bermasyarakat majmuk.

Pas pada masa ini menyumbang 18 kerusi Parlimen dalam kerajaan PN dan bergabung dengan Umno menerusi gagasan Muafakat Nasional (MN).

Walau bagaimanapun, Pas dalam masa sama bergabung bersama Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu.

Hasil hubungan dengan Bersatu, Pas dilantik oleh Pengerusi PN, Muhyiddin untuk menjadi ‘bos’ di empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (BPN) PN.