Malaysia Dateline

Pas sanggup bertemu pemimpin parti Yahudi…

Tampil menyangkal kecaman yang memanggil Pas sebagai parti pelacur, seorang ulamak Pas bangkit bersuara.

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik menegaskan liku-liku dan denai perjuangan partinya itu disalin daripada perjalanan Rasulullah SAW memandangkan perjalanan politik dan dakwah parti itu adalah Islam.

“Demi Islam, dakwah dan umat ini, Pas sanggup berbaik dengan siapa sahaja yang dilihat mampu membantu Pas menguatkan Islam.

“Biarlah Pas ke hulu kehilir, kekiri dan kekanan. Bertemu siapa sahaja tokoh-tokoh politik Muslim atau kafir hatta kalau ada pemimpin parti Yahudi di Malaysia ini, Pas sanggup bertemu mereka jika itu memberi keuntungan kepada Islam, umat dan negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bulan lalu, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menggelar Pas sebagai ‘pelacur’ kerana sering kali beralih sokongan antara DAP dan Semangat 46, iaitu parti serpihan Umno yang pernah diterajuinya.

Sehubungan itu, Pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu menggesa partinya menewaskan Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menyentuh panggilan pelacur terhadap partinya itu, Mokhtar menegaskan Pas merupakan gerakan dakwah bukan hanya memikirkan objektif politik.

“Saya merasakan mereka yang membuat tuduhan itu sebagai manusia-manusia gagal dalam memahami sejarah dakwah dan perjuangan Rasulullah SAW.

“Mereka perlu sedar bahawa Pas bukan hanya sebuah parti politik sebagaimana parti-parti politik lain yang ada di Malaysia.

“Pas adalah wadah politik, dakwah dan tarbiyyah. Ketiga-tiga gerakan dan gerak kerja ini berjalan serentak di dalam Pas,” kata Mokhtar lagi.