Malaysia Dateline

PAS Sarawak sengaja timbulkan isu Darul Hana, kata Ketua Menteri Sarawak

PAS Sarawak sengaja memainkan isu istilah Darul Hana kerana sudah tiada isu lain lagi untuk menentang kerajaan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg Openg berkata, Kerajaan Negeri Sarawak tidak pernah menggunakan istilah Darul Hana bagi merujuk negeri ini.

“Mana ada, bila? Kalau Kerajaan Sarawak buat itu, saya pasti tahu tetapi saya pun tidak tahu. Mereka (PAS Sarawak) cuma mahu menimbulkan isu kerana sudah tidak ada isu lagi untuk menentang kerajaan,” tegas beliau.

Abang Johari menjelaskan, Kerajaan Negeri Sarawak hanya menggunakan istilah Darul Hana untuk menamakan jambatan, perumahan dan masjid.

“Kita tidak boleh sesuka hati menggunakan istilah Darul Hana bagi merujuk Sarawak kerana ia harus mendapatkan persetujuan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN),”tambah beliau lagi.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee berkata, PAS akan terus menggunakan perkataan Darul Hana selagi tidak bertentangan dengan peraturan negara.

Ini kerana menurutnya, perkataan Darul Hana adalah bermaksud negara yang aman.

“PAS atau mana-mana organisasi yang menggunakan perkataan Darul Hana adalah bertujuan untuk mengimbas kembali sejarah sebelum kedatangan penjajah ke Sarawak.

“Nama Darul Hana sesuai untuk tempat yang terdiri daripada pelbagai etnik dan kepercayaan tanpa mengira bangsa dan agama kerana ia bermaksud negara yang aman,” ujarnya dalam kenyataan.