Malaysia Dateline

Jofri Jaraiee sarawak

Pas Sarawak tidak bercadang wujud kerjasama politik dengan GPS

PAS Sarawak yang telah bertapak di negeri ini selama 23 tahun iaitu sejak 1996 tidak bercadang mengadakan kerjasama politik dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) buat masa ini.

Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee berkata, parti tersebut akan bertindak sebagai parti “semak dan imbang” kepada kerajaan Sarawak yang diterajui GPS serta mengamalkan budaya politik matang dan pada masa sama memperjuangkan keadilan semua kaum di Sarawak.

“Buat masa ini kerjasama politik belum lagi,” katanya kepada Bernama semalam.

Namun beliau tidak menolak kemungkinan ianya akan dibincangkan pada masa hadapan bergantung kepada situasi politik semasa.

Sambil mengucapkan tahniah kepada pelancaran rasmi GPS pada 19 Jan lepas, Jofri berkata, GPS perlu membaiki kelemahan dalam pentadbiran sekarang, menyelesaikan pertikaian Tanah Adat Bumiputera dan  memastikan perpaduan serta toleransi agama dan kaum dijaga.

GPS terdiri daripada empat parti politik iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

— BERNAMA