Pas Sarawak yakin harapan pengundi masih tinggi biarpun tewas di DUN Beting Maro

Oleh KIM SYAZIE

Pas yakin harapan pengundi kepada parti itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro masih tinggi kerana meraih undi kedua terbesar biarpun calonnya tewas kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Calonnya, Arifiazul Paijo hanya meraih 2,058 undi berbanding penyandang kerusi, Razaili Gapor yang meraih 3,769 undi dengan majoriti 1,711 undi.

Bagaimanapun Pas Sarawak dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 636 undi yang diberikan kepada calon bebas sebenarnya membuktikan adanya penolakan terhadap calon GPS.

“Ternyata harapan tinggi pengundi Beting Maro buat Pas adalah tinggi apabila masih lagi memberi undi kedua tertinggi biarpun berhadapan tiga lagi calon daripada keseluruhan lima calon termasuk calon GPS,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, strategi pecah undi ini telah mengurangkan undi kepada Pas dengan situasi sekiranya satu lawan satu antara Pas dan GPS pastinya akan menjadi saingan sengit iaitu 3,533 undi jika dikumpulkan keseluruhan.

“Tahniah dan syabas kepada calon dan jentera Pas kerana masih lagi berjaya menjadi pesaing dan pencabar utama kepada mantan wakil rakyat Beting Maro.

“Peratusan keluar mengundi kali ini rendah iaitu sebanyak 56.28 peratus atau seramai 6,235 daripada 11,059 senarai daftar yang layak mengundi. Berbanding PRN yang lepas, Pas berjaya memperolehi sebanyak 3,051 undi atau 38.56 peratus,” kata Pas Sarawak dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

Pada masa sama kata Pas Sarawak, PKR harus menerima hakikat bahawa parti berkenaan tidak lagi diterima di Sarawak.

Menurutnya, kekuatan PKR telah hilang sungguhpun calon yang dipertaruhkan di Beting Maro adalah Pengerusi PKR negeri Sarawak.

“Ini adalah signal jelas kawasan majoriti Melayu tidak menerima PKR dan ini juga sebab utama DAP tidak lagi melihat lambang Pakatan Harapan boleh digunapakai di Sarawak kerana rakan komponennya sudah hilang kekuatan di Sarawak,” tambah kenyataan itu.

Sehubungan itu, ujar Pas, penyertaan PRN12 kali ini sangat penting untuk membuktikan bahawa jentera tempatan mampu mengharungi pilihan raya tanpa bergantung sepenuhnya dengan jentera negeri bantu dari luar Sarawak.

“Tahniah kepada calon Pas Mohamad Arifiriazul Paijo dan seluruh jentera Pas Beting Maro terutamanya para petugas tempatan dan seluruh penyokong di Sarawak. Yang pasti Pas masih relevan di Beting Maro,” kata PAS Sarawak.