Malaysia Dateline

Pas sebenarnya derhaka kepada titah Sultan Selangor

Pas sebenarnya parti yang derhaka kepada titah Sultan Selangor apabila ada pemimpinnya masih memberi ceramah di masjid dan surau walaupun sudah ditarik balik tauliah.

ADUN Taman Templer, Mohd Sany Hamzan berkata, bantahan berhubung kehadiran pemimpin Pas sebagai penceramah sudah dibuat sebelum ini.

“Tetapi tiada tindakan di pihak JAIS sebab nazir itu sendiri merupakan pimpinan-pimpinan Pas,” katanya.

“Pas sebenarnya parti yang derhaka kepada titah Sultan Selangor.

“Selama ini dia tuduh PH (derhaka sultan) tetapi sekarang jelas menunjukkan kepada kita bahawa Pas merupakan parti yang derhaka terhadap titah Sultan Selangor.

“Dia (Pas) sudah ditamatkan tauliahnya. Dia tahu dia sudah tidak mempunyai tauliah. Dia langgar titah Sultan Selangor

“Kami tidak boleh berdiam diri sebab dia sudah melanggar titah Sultan Selangor,” tegas Sany lagi.

Beliau berkata demikian kepada media hari ini selepas serahan memorandum bantahan oleh wakil Ahli Kariah Masjid Nurul Iman Rawang.

Turut hadir di Istana Shah Alam Selangor adalah ADUN Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri.

Untuk rekod, Ahli Dewan Diraja menerusi Mesyuarat Dewan Diraja Selangor pada Mac 2019 telah memperkenankan individu berstatus ahli politik tidak akan diberi tauliah untuk mengajar agama Islam di masjid dan surau di negeri itu.

Berkuat kuasa pada 31 Disember 2021, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menarik balik tauliah mengajar agama yang sudah diberikan kepada semua aktivis politik di negeri itu.

Tindakan itu susulan titah Sultan yang tidak mahu agama Islam dipolitikkan serta dijadikan bahan politik oleh mana-mana pihak di Selangor, khususnya di masjid dan surau.

Hanya Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang memegang portfolio agama Islam masih boleh menyampaikan pengajaran agama Islam dengan syarat tidak menyentuh hal berkaitan politik dalam perkara yang disampaikan.

Sehingga bulan lalu, terdapat empat aktivis politik yang masih memegang tauliah mengajar agama Islam di masjid di Selangor.

Tiga daripada aktivis politik itu daripada parti Pas dan seorang daripada Parti Amanah Negara (AMANAH).

Mengikut titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 18 Februari lalu menegaskan seseorang penceramah yang berstatus ahli biasa dalam parti politik boleh ditarik balik tauliah mengajar jika menimbulkan polemik yang boleh pecah belahkan perpaduan ahli kariah.

Ketetapan tersebut juga boleh dikenakan terhadap mana-mana penceramah yang bukan dalam kalangan ahli politik.

Mengajar agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 119 Enakmen yang sama.

Sabit kesalahan, boleh dihukum denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/macam-mana-ahmad-dusuki-boleh-kuliah-di-masjid-al-ikhlas-shah-alam/

Baca juga: https://themalaysialife.com/ini-adalah-5-risiko-yang-anda-akan-hadapi-jika-tidur-selepas-sahur/