Malaysia Dateline

Pas sedang menuai badai hasil angin yang disemainya

ULASAN: Semenjak dahulu, pendirian saya dan kawan-kawan dalam AMANAH adalah konsisten. Dalam sistem demokrasi Westminster, mengundi calon orang bukan Islam dalam pilihan raya adalah harus. Hanya Pas yang menghukumnya haram.

Hal itu termasuk urusan politik, urusan cabang, bukan urusan akidah dan urusan usul. Justeru kerana pendirian itulah AMANAH bekerjasama politik dengan DAP dan orang bukan Islam dalam Pakatan Harapan (PH). Pas pula menganggapnya urusan akidah lalu ramailah orang Islam dikafirkan kerana bekerjasama dan mengundi calon bukan Islam.

Pas juga pernah melalui fasa-fasa itu semasa membentuk Pakatan Rakyat (PR). Namun, oleh kerana termakan dedak Umno, gaya politik Pas berubah menjadi anti bukan Melayu dan bukan Islam.

Umno memainkan isu Melayu dan Pas memainkan isu Islam. Bukan kerana kepentingan politik Melayu Islam tapi kerana kepentingan nafsu politik mereka.

Jika kerana kepentingan politik Melayu Islam, kenapa Umno masih setia dengan MCA dan MIC? Kenapa Pas pula bersedia untuk mengurangkan bilangan kerusi Islam dalam parlimen dengan menyokong MCA di Tanjung Piai?

Saya katakan, gaya politik Umno-Pas yang memainkan sentimen perkauman dan keagamaan sempit ini sangat tidak sihat untuk iklim politik negara ini. Seharusnya iklim politik kita dihembusi oleh udara yang lebih tenang dan harmonis.

Pas boleh terus membawa suara Islam seperti yang didakwanya, tetapi bukan suara Islam yang berbaur kebencian kaum dan agama. Bawalah suara Islam yang bersifat rahmah untuk semua.

Demikian juga Umno. Walaupun pedih hati kerana kehilangan kuasa masih berbekas dalam diri, usahlah menjadi agen pemecah-belah masyarakat melalui sentimen perkauman Melayu melulu.

Baik sangatkah nasib Melayu semasa Umno memerintah? Tanah rezab Melayu hilang zaman PH? Kampong Bharu terbela zaman Umno?

Janganlah kitab yang menghimpun koleksi penyelewengan Umno dengan mudah mahu ditutup dengan lapisan saprah sentimen perkauman melulu untuk meraih simpati politik Melayu demi kelangsungan hayat politik Umno.

Di Kelantan dan Terengganu, orang Islam di sana tidaklah lebih baik daripada orang Islam di Melaka atau di Pulau Pinang. Jika benar Pas ingin membuktikan partinya lebih Islam daripada parti lain, buktikan di Kelantan dan Terengganu. Kedua-dua negeri itu bebas maksiat?

Saya melihat, kini Pas sedang menuai badai hasil angin yang disemainya. Tentu Pas tidak ditroll dengan teruk oleh warga maya jika pendirian politik Pas lebih rasional, lebih inklusif dan meraikan kepelbagaian.

Memang di Tanjung Piai, Pas cuba untuk memulihkan imejnya sebagai parti yang menerima kaum lain dan mesra orang bukan Islam, tapi Pas ternyata silap kerana pendiriannya yang tidak konsisten. Mulut pemimpinnya berubah sebulan empat kali dalam soal ini.

Satu lagi kesilapannya ialah apabila parti MCA dipilih untuk disokong. MCA juga parti perkauman Cina. Ahli parti itu semuanya Cina (setakat yang saya tahu), bahkan pensyarah yang keluar MCA itu pun Cina walaupun dia beragama Islam.

Situasi itu berbeza dengan DAP yang memiliki keahlian pelbagai kaum dan agama. Exco Belia Johor, Syeikh Omar Baraghib Ali, Melayu Muslim (mungkin Arab jika lihat pada nama), tapi ahli DAP.

Dalam AMANAH dan PKR juga ada orang bukan Melayu dan bukan Islam. Walaupun dalam Pas ada bukan Melayu Islam (dalam sayap DHPP), tetapi pendirian pemimpin Pas yang dilihat konsisten dengan sentimen agama melulu menjadikan suara orang bukan Islam dalam Pas seakan-akan tiada.

Kini Pas sedang melalui fasa-fasa perit dalam langkah politiknya khususnya di Tanjung Piai. Pemimpin Pas terpukul kiri dan kanan apabila warga maya mengungkit kembali pendirian MCA terhadap Pas. Eh…parti Islam sokong orang tolak hudud?

Hakikatnya, saya secara peribadi sangat membenci politik berasaskan sentimen perkauman dan keagamaan melulu seperti yang dibawa oleh Umno dan Pas. Wajah politik sebegitu amat jelik untuk masa depan politik negara yang semakin inklusif dan dinamik.

Bagaimana melakarnya? Sebagai langkah lanjutan, tewaskan MCA dan rakan sekutunya dalam PRK Tanjung Piai, dan ajar Pas dan Umno bahawa rakyat Malaysia membenci politik perkauman dan keagamaan melulu yang dibawa itu.

* Ustaz Zolkharnain adalah Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH.