Malaysia Dateline

Pas sedang pecahkan penguasaan Umno, kata bekas MB Selangor

Bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berpendapat, desakan Pas supaya menjemput Bersatu menyertai Muafakat Nasional (MN) merupakan gerakan awal untuk memecahkan penguasaan Umno sebagai parti terbesar orang Melayu.

Dalam tulisan beliau di facebooknya, Dr Khir berkata, desakan ini juga tak lebih dari memerah limau ke atas luka yang di alami oleh Umno akibat dari penubuhan Bersatu yangg merupakan replica Umno.

“Begitu juga perbuatan Bersatu mengambil Ahli Parlimen Umno dengan cara mencuri di siang hari,” tulis Dr Khir.

Beliau seterusnya mempertikaikan langkah Pas itu dan membandingkan tindakan itu dengan tindakan menjemput AMANAH menyertai MN.

“Apakah perasaan Pas jika parti PAN (AMANAH) juga di minta untuk menyertai Muafakat Nasional, dengan alasan yang sama demi perpaduan Melayu?.

“Adakah Pas sanggup menerimanya?” tanya Dr Khir dalam tulisan itu.

Bagi beliau, Pas wajar cuba untuk memahami situasi yang telah dilalui oleh ahli ahli Umno bila mana wakil rakyat yang mereka pilih lompat ke Bersatu tanpa mengambil kira pandangan mereka.

Bagi beliau, Pas telah meneruskan usaha nya untuk melumpuhkan Umno dengan cadangan supaya Perikatan Nasional (PN),didaftarkan sebagai satu gabungan politik yang berdaftar dan menjurus ke arah menghadapi PRU 15 dengan menggunakan lambang baru.

“Ini bermaksud PN akan menggantikan BN. Parti komponen BN iaitu MCA dan MIC pasti akan meninggalkan BN dengan menjadi komponen PN.

“Ini telah terbukti bila mana ketua-ketua parti dari Sabah yang dulunya komponen BN telah dijemput sekali dalam mesyuarat PN baru baru ini, begitu juga dengan MCA dan MIC,” kata Dr Khir lagi.

Dengan ini, kata beliau, kedudukan Umno akan jadi sama tarafnya dengan parti-parti lain walaupun parti itu hanya mempunyai ahli yang boleh dihitung dengan jari.

“Umno dan Pas sebaiknya menguatkan MN, dan menjadi block terkuat dalam pembentukan kerajaan selepas PRU akan datang seperti mana yang dilakukan oleh parti parti politik di Sarawak hari ini,” katanya.