Pas Selangor cabar Amanah raih undi Melayu

Pas Selangor mencabar Amanah meletakkan calon di kerusi yang ditandingi Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang bagi membuktikan parti itu mampu meraih sokongan pengundi Melayu.

Pas Selangor cabar Amanah raih undi Melayu

Pas Selangor mencabar Amanah meletakkan calon di kerusi yang ditandingi Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang bagi membuktikan parti itu mampu meraih sokongan pengundi Melayu.

Setiausahanya, Khairuddin Othman berkata, Amanah hanya yakin mampu menang dengan sokongan pengundi bukan Melayu sahaja.

“Jika mereka hanya bergantung kepada sokongan pengundi Cina, saya yakin mereka gagal untuk menakluki kerusi tersebut.

“Memang Pas bertanding di kawasan majoriti Melayu… tetapi adakah Amanah boleh ‘survive’ tanpa sokongan pengundi Melayu di kawasan majoriti Melayu?” soalnya dipetik daripada akhbar Sinar Harian hari ini.

Mengulas tentang pertandingan tiga penjuru, Khairuddin berkata, situasi itu pasti akan memberi laluan mudah kepada kemenangan BN.

“Sebaliknya jika benar parti pembangkang mahu menjatuhkan BN, pertandingan satu lawan satu harus direalisasikan sekalipun Majlis Syura Pas membuat keputusan menolak kerjasama dengan Amanah dan DAP.

“Ini bermakna parti pembangkang lain tidak boleh bertanding di kerusi yang ditandingi Pas,” tambahnya lagi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Jaras.

Kedudukan semasa Dun di Selangor menyaksikan Pakatan Harapan (PKR-Amanah-DAP) menguasai 30 kerusi, Pas 13, BN 12 dan Bebas 1 kerusi.

Untuk rekod, purata peningkatan undi Cina untuk Pas di Selangor naik daripada 42.9 peratus pada PRU12 (2008) kepada 70.3 peratus pada PRU13 sekaligus menyumbang kepada pertambahan daripada lapan kepada 15 kerusi Dun.

Bagaimanapun, perpecahan Pas menyebabkan dua daripada Adun mereka iaitu Saari Sungib (Hulu Klang) dan Hasnul Baharudin (Morib) mengambil keputusan untuk menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).