Pas Selangor dakwa Noh kecewa 3 exco kekal

Pas Selangor dakwa Noh kecewa 3 exco kekal

Noh Omar

Pas Selangor mengumpamakan kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu Tan Sri Noh Omar bahawa Pas parti ‘tidak bermaruah’ kerana masih mahu berada dalam pentadbiran kerajaan Selangor ibarat ‘meludah ke langit’.

Pesuruhjaya Pas Selangor Sallehen Mukhyi berkata, kenyataan itu juga menggambarkan kekecewaan Noh kerana gagal memecahkan kerajaan Selangor seterusnya menarik Pas untuk bersama Umno.

Sebaliknya kata beliau, Noh harus melihat Umno dan BN Selangor sendiri yang terus menikus dan mendayus terhadap kelemahan Kerajaan Persekutuaan.

“Pas terus kekal dalam kerajaan Selangor pada hari ini kerana menunaikan hak yang diberikan oleh rakyat dan kematangan pentadbiran kerajaan yang ada pada hari ini.

“Perbezaan yang ada antara parti adalah kelebihan kerajaan negeri yang ada pada hari ini terutama dalam mengambil kira maslahah rakyat dan memberikan perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noh sebelum ini berkata, alasan Pas untuk tetap kekal dalam pentadbiran Selangor kerana mahu menunaikan mandat diberi rakyat pada pilihan raya umum lalu walaupun kerjasama politik dengan PKR sudah tamat adalah tidak munasabah.

Mengulas lanjut, Sallehen menasihatkan Noh agar belajar tentang makna ‘Tahaluf’ dan ‘Taawun’ kerana menurutnya, kejahilan untuk memahami inilah menyebabkan beliau meminta Exco Pas meletakkan jawatan.

“Keterlibatan Pas dalam kerajaan adalah untuk bertolongan dalam kebaikan dan takwa. Sejarah telah membuktikan, di saat DAP memutuskan hubungan dengan Pakatan Rakyat, DAP melalui exconya tidak meletak jawatan, apabila masyarakat mempersoalkan Lim Guan Eng menjawab yang DAP perlu terus berada dalam kerajaan supaya Pas tidak buat kerja jahat.

“Oleh sebab itu, Pas perlu terus berada dalam kerajaan dan exco mesti terus berkhidmat supaya Pas dapat buat kerja baik dan DAP tidak buat kerja jahat,” katanya yang mengganikan Datuk Iskandar Samad sebaga pesuruhjaya negeri.

Sallehen turut mengingatkan Noh agar belajar sejarah iaitu Pas satu-satunya parti kerajaan negeri yang tidak pernah melakukan pakatan dan kekecohan untuk menjatuhkan menteri besar, di saat parti lain berpakat menjatuhkan Tan Sri Khalid, Pas tidak turut berpakat.

“Bukan kerana peribadi tetapi keharmonian dan kesejahteraan rakyat itu jauh lebih penting. Bila Menteri Besar baru Datuk Seri Azmin Ali dilantik, Pas terus teguh untuk meneruskan agenda menjaga kesejahteraan dan keharmonian rakyat. Inilah Pas yang Tan Sri Noh Omar perlu belajar daripadanya,” katanya.

Khamis lalu, Majlis Syura Ulamak Pas sebulat suara menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR serta-merta susulan parti itu dikatakan melanggar beberapa syarat kerjasama politik yang terjalin sekian lama itu.

Keputusan itu memberi impak kepada kedudukan tiga Exco Pas dalam kerajaan Selangor pimpinan Menteri Besar yang juga Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Bagaimanapun, Sallehen menyatakan tiga Exco itu, Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib kekal berkhidmat dalam kerajaan negeri sehingga Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

 

COMMENTS

Wordpress (0)