Pas Selangor faham masalah Umno negeri, terpaksa guna wang tarik sokongan

Pas Selangor faham masalah Umno negeri, terpaksa guna wang tarik sokongan

Pas Selangor mendakwa Umno negeri itu gagal untuk menarik sokongan rakyat sehingga terpaksa menawarkan hadiah wang bagi pendaftaran ahli dan pengundi sebanyak sepuluh kali ganda.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, Umno berhadapan tugas sukar untuk menarik ahli-ahli baharu akibat masalah dalaman yang dihadapi dan kredibiliti parti itu sudah tercalar di mata rakyat.

“Kami memahami masalah yang dihadapi oleh mereka kerana kredibiliti Umno di mata rakyat telah teruk tercalar dan sudah tentu untuk menarik ahli-ahli baru adalah satu tugas yang hampir mustahil.

“Ini disebabkan pelbagai dakwaan terhadap pimpinan Umno yang sehingga hari ini belum dijawab dengan sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi.

Ketika mesyuarat agung tahunan ketua cawangan Umno Selangor Ahad lalu, naib presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa beliau dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan meningkatkan hadiah sebanyak sepuluh kali ganda kerana kagum dengan jumlah yang hadir.

Sebelum itu, pengerusi perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar mengumumkan hadiah wang tunai RM5,000 untuk cawangan yang mendaftar keahlian dan pengundi paling banyak.

Noh mengakui bahawa ganjaran wang itu sedikit kerana Umno Selangor tidak mempunyai “bajet cukup”.

Menurut Iskandar juga, prestasi kerajaan negeri Selangor dengan pelbagai program rakyat mendapat sokongan yang padu dari rakyat menyebabkan Umno di negeri itu tidak mempunyai banyak ruang untuk berperanan.

Beliau juga berkata, Pas Selangor tidak bimbang dengan perkembangan ini kerana cawangan-cawangan Pas dapat menarik ahli-ahli baru tanpa ganjaran kewangan.

“Ahli-ahli Pas tidak meletakkan ganjaran kewangan sebagai matlamat perjuangan mereka.

“Matlamat mereka bukan hanya di dunia tetapi di akhirat. Mencari keredhaan Allah adalah matlamat utama aktivis-aktivis PAS. Agar selamat di dunia dan akhirat,” katanya lagi.

Tambah naib presiden Pas ini juga, pengumuman Zahid itu jelas menunjukkan bahawa matlamat Umno adalah hanya untuk dunia sahaja.

Menurut Zahid, pertandingan itu adalah satu bentuk motivasi untuk Umno Selangor merampas negeri itu daripada pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

TAGS