Pas dilihat senada dengan pendirian bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tidak berkompromi dengan kumpulan kleptokrat yang cuba merosakkan dan menyalahgunakan kuasa pentadbiran negara.
Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP), Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, Mahiaddin telah melakukan yang terbaik untuk kebaikan negara dan rakyat khususnya dalam menangani pandemik Covid-19 walaupun mentadbir negara hanya dalam tempoh singkat.
Untuk rekod, kleptokrat merujuk kepada pemimpin yang korup dan menggunakan kuasa memperalat rakyat dan sumber negara demi menambahkan kekayaan dan tampuk kekuasaan mereka sendiri.
Panggilan kleptokrat dilihat popular digunakan Pakatan Harapan (PH) merujuk kepada sejumlah pemimpin tertinggi Umno semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018.
Namun, semasa pandemik Covid-19 melanda, kumpulan Ahli Parlimen Umno yang berdepan dengan kes mahkamah termasuk Presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi digelar sebagai “kluster mahkamah”.
Mengulas lanjut, DUPP juga, jelas Nik Zawawi melahirkan kekesalan terhadap kerakusan sesetengah pimpinan politik untuk mendapatkan kuasa tanpa mengira keresahan dan kesusahan yang sedang dihadapi oleh rakyat.
Jelasnya, kerakusan pimpinan politik terbabit sehingga membawa kepada suasana politik yang tidak stabil dan harmoni serta mendorong kepada peletakan jawatan Perdana Menteri bersama Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“DUPP juga menyambut baik ketegasan Muhyiddin untuk sesekali tidak berkompromi dengan kelompok kleptokrat yang cuba untuk mengganggu gugat proses pentadbiran negara serta menginginkan berlakunya penyalahgunaan kuasa,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook DUPP malam tadi.
Semalam, Mahiaddin dalam perutusan khas terakhirnya sebagai Perdana Menteri yang menyebut tentang kleptokrat kemudiannya hanya mengundang kecaman orang ramai.
Rata-rata warganet berpendapat Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mungkin lupa siapa yang yang ditemuinya sebelum ini untuk berkuasa susulan kejatuhan kerajaan PH tahun lalu.
Untuk rekod, Pas dilihat ‘terhutang budi’ dengan Mahiaddin dan PN apabila kembali menganggotai barisan jemaah menteri Kabinet selepas 43 tahun bergelar pembangkang.
Pas kali terakhir berada dalam Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan campuran Perikatan dari 1973 hingga 1974 dan Barisan Nasional (BN) dari 1974 hingga 1977.
Dalam kerajaan PN yang bertahan hanya 17 bulan sehingga semalam, seramai lapan daripada 18 Ahli Parlimen Pas dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri.