Malaysia Dateline

Pas sepatutnya lebih mudah pinda RUU355 pasti disokong MCA, GPS

Sebagai sebuah kerajaan yang memerintah hari ini, Pas sepatutnya lebih mudah membentangkan pindaan Akta 355 kerana sudah pasti disokong semua Ahli Parlimen PN termasuk MCA dan GPS Sarawak, demikian menurut Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional Muhammad Faiz Fadzil.

Malangnya kata beliau, setelah enam bulan menjadi kerajaan tiada apa-apa usaha kerajaan PN ke arah itu.

Sedangkan katanya, Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini melalui menteri AMANAH telah berjaya meluluskan Akta Profesion Guaman Syarie.

Rang Undang-Undang (RUU) Guaman Syarie 2019 yang diluluskan Parlimen pada 31 Julai 2019 lalu menjadi pencetus kepada usaha memartabatkan Mahkamah Syariah di negara ini.

RUU itu tidak akan menjejaskan mana-mana pihak, tetapi akan menjadi pencetus kepada usaha memartabatkan Mahkamah Syariah di negara ini kerana peguam syarie adalah sebahagian daripada institusi berkenaan.

Faiz yang juga Adun Permatang Pasir berkata, RUU355 menjadi titik tolak perpecahan dalam Pas dan Pakatan Rakyat kononnya Pas serius mahu membentangkan pindaan kepada Akta 355 ini bagi meningkatkan hukuman terhadap jenayah syariah.

“Tetapi kini nada Pas berubah setelah bersama dalam kerajaan PN. Di mana hilangnya integriti dan kejujuran PAS memperjuangkan Islam? Adakah kerana MCA pernah mengadakan protes membantah hukum hudud.

“AMANAH difitnah menjadi kuda DAP, adakah kerana MCA sudah bersama dalam kerajaan, PAS pula sanggup dianggap khadam MCA?”soal beliau.

Tambahnya, pemimpin Pas menganggap RUU355 ini yang dilihat bertujuan pelaksanaan hukum hudud sebagai nyawa PAS malah berjanji ketika pilihanraya juga untuk melaksanakan hukum hudud.

“Tanpa pindaan Akta 355, hukum hudud masih tidak boleh dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu.

“Apakah perasaan ribuan orang Melayu Islam yang hadir ke Himpunan RUU355 pada 18 Februari 2017 di Kuala Lumpur yang ikhlas mahu melihat RUU ini diluluskan. Kini, RUU355 yang dibawa PAS sebelum ini tinggal kenangan,” katanya.

Apa yang dikesalkan, katanya, ketika pakar undang-undang membangkitkan hujah terhadap akta ini Pas melabelkan mereka penentang RUU355 sehingga seorang ulama Pas bersikap takfiri mendakwa sesiapa yang menentang RUU355 akan ditanam di jirat Cina.

“Hari ini orang Melayu Islam ternanti-nanti bilakah kerajaan PN yang dianggotai Pas akan membentangkan RUU355 di Parlimen, tetapi ternyata meleset dengan jawapan daripada Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Ahmad Marzuk Bin Shaary bahawa RUU355 perlu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.