Pas sepentas dengan Umno lagi, kali ini di Pasir Salak

Pas sepentas dengan Umno lagi, kali ini di Pasir Salak
Zahid dan Hadi di Pasir Salak malam tadi yang disifatkan oleh Pas sebelum ini sebagai tapak ekstremis perjuangan assobiyah Melayu.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi duduk sepentas dengan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kali ini di lubuk ‘pejuangan Melayu’ iaitu di Pasir Salak, Perak.

Mereka berhimpun dalam perhimpunan yang dinamakan “Himpunan Perpaduan Ummah” di kawasan yang pernah menyaksikan pembunuhan J W W Birch, penasihat Residen British ke Tanah Melayu.

Ketua Umno Pasir Salak sekarang adalah Datuk Tajuddin Abdul Rahman yang selama ini dikira oleh Pas sebagai ekstrimis perjuangan assobiyah Melayu.

Dalam perhimpunan malam tadi, Umno mengancam untuk menggembleng masyarakat Melayu ke jalanan bersama Pas untuk “mengamuk” sekiranya kerajaan tetap mahu meratifikasi Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Zahid berkata demikian bagi menyambut kesediaan Presiden Pas Abdul Hadi Awang untuk mengerahkan ahli parti Islam itu ke jalanan untuk membantah pengiktirafan konvensyen antarabangsa itu.

Ketua pembangkang itu menegaskan, Umno dan Pas akan bersatu untuk kempen tersebut yang akan diadakan pada 8 Disember di Kuala Lumpur.

“Jangan sampai orang Melayu amuk. Tetapi kalau amaran Abdul Hadi tidak diendahkan, Umno dan Pas bersatu.

“Kita bukan sekadar memberikan amaran, kita akan buktikan sekiranya tidak ada pengisytiharan menolak Icerd ini, pasti Umno-PAS, orang Melayu-Islam akan bangun di seluruh negara menentangnya. Jangan minta,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh The Malaysian Insight.

Loading...

Ucapan ini dikeluarkan ketika AMANAH, parti yang berasal dari Pas menjadikan rahmatan lil alamin (rahmat untuk seluruh alam) sebagai slogannya.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu ketika berucap dalam konvensyen AMANAH Selangor pagi ini mahukan parti itu melaksakan slogan ini selepas menjadi kerajaan.

Dalam ucapan di Pasir Salak, Zahid mengakui Umno dan Pas selama ini telah melakukan kesilapan dengan bergaduh sesama sendiri.

Ia menyebabkan kedua-dua parti itu tewas teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Bagaimanapun kata Zahid, ianya merupakan kesalahan mantan presiden Umno Dr Mahathir Mohamad yang didakwanya menanam kebencian di kalangan ahli Umno terhadap Pas selama ini.