Pas seperti tin kosong berkarat

Oleh NASUHA RAHMAN

Portal berita sebuah parti menyiarkan berita rayuan seorang pemimpin parti itu yang amat terkenal dengan sembang kencang. Laporan portal menyebutkan pimpinan tersebut berkata “jangan biar PH memerintah kembali, DAP akan berkuasa biarpun ketua menterinya orang Melayu, cukuplah pengalaman 22 bulan lalu.

Membaca keseluruhan laporan berita, tiada apa yang dibentangkan oleh pemimpin bermulut copong tersebut. Hanya sembang kosong dan tohmah.

Katanya lagi, Islam memberi keadilan kepada semua seperti yang diterjemahkan di Kelantan, Terengganu dan Kedah sekarang.

Boleh bersetuju Islam memberi keadilan kepada semua kerana itulah Islam, agama yang adil kepada semua makhluk bukan sahaja manusia.

Tetapi merujuk keadilan Islam seperti diterjemahkan di Kelantan, Terengganu dan Kedah adalah tidak tepat dan amat jauh panggang dari api.

Apa yang adilnya di Kelantan? Adilkah perkhidmatan air bersih di Kelantan? Adil sangatkah pentadbiran Terengganu sehingga mereka bercakaran sesama mereka dalam pentadbiran? Adil sangatkah Kedah di bawah MB pembohong dan badut?

Membuat rujukan keadilan Islam di Kelantan, Terengganu dan Kedah amat mendukacitakan. Ianya bukan suatu yang boleh dibanggakan malah memberi fitnah kepada Islam.

Masyarakat akan lihat dan persoal itu sajakah Islam?

Tidak…bukan…Islam lebih dari itu. Keadilan Islam bukan sekadar ungkapan tetapi tindakan.

Kata pemimpin itu lagi, “tempoh ini amat memeritkan kita, kita rasai seolah-olah 22 tahun, maka bagilah peluang kepada Pas yang bersama-sama dalam PN, kita akan memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat”.

Pas telah diberi peluang bukan sahaja di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Pas telah berkesempatan mentadbir Malaysia sejak tindakan TIDAK BERMORAL seperti kata Haji Hadi bermula Mac 2020 hingga sekarang.

Sejak Mac 2020 hingga sekarang di Putrajaya, apa yang Pas lakukan?

Laporan Audit Negara bagi tahun 2020 jelas membuktikan salah urus tadbir kewangan negara yang menyebabkan negara hilang RM620 juta begitu saja.

Pas di dalam pentadbiran Putrajaya bersama Umno, Bersatu, MCA, MIC dan GPS. Mereka penyebab hilangnya duit negara. Mereka juga bersama penjenayah kewangan negara Najib Razak.

Adakah salah urus kewangan dan bersama penjenayah kewangan yang menyebabkan negara terpaksa menanggung hutang berbilion ini tuntutan dan ajaran Islam?

Tiada apa yang boleh dibuktikan oleh Pas selama ini melainkan hanya sembang kosong dan membuat tohmahan menakutkan masyarakat dengan DAP.

“Jangan biar PH memerintah kembali, DAP akan berkuasa biarpun ketua menterinya orang Melayu, cukuplah pengalaman 22 bulan lalu.”

Apa hujah mereka? Tiada. Umpama tin kosong yang diketuk untuk menakutkan haiwan memakan tanaman.

Tidak habis-habis jangan biar DAP berkuasa. Jika jahat DAP, haramkan saja. Batalkan pendaftaran DAP. Jahat sangat.

Ini tidak. Mulut berbuih tapi tindakan tiada.