Malaysia Dateline

Pas ‘serang’ wakil rakyat PBB, berebut DUN Beting Maro

Pas berterusan menyerang rakannya dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) ekoran perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro.

Kali ini, Pas mendakwa wakil rakyat PBB sedia ada telah gagal menyelesaikan banyak masalah berkaitan isu-isu rakyat di kawasan terbabit.

Pengarah Pilihan Raya Pas Kawasan Batang Lupar, Hipni Bakeri berkata, rakyat terutamanya pengundi Beting Maro semakin yakin dengan pucuk pimpinan Pas Sarawak yang bukan sahaja turun ke lapangan dengan kerap tetapi telah banyak menyuarakan hal-hal dan permasalahan rakyat di sana.

“Realitinya begitulah kehidupan rakyat di sini yang ibarat kehilangan wakil rakyat yang mana suara dan kelibat wakil rakyat sedia ada telah kabur.

“Rakyat di sini secara jelas mahukan Pas menjadi wakil mereka kerana banyak siri permasalahan rakyat diselesaikan oleh Pas,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, menurut Hipni, kenyataan Pesuruhjaya dan Ketua Pemuda Pas Sarawak baru-baru ini telah memberi tamparan kepada wakil rakyat di Beting Maro termasuk pucuk pimpinan PBB bahawa kegagalan wakil rakyat sedia ada memacu perubahan dan menjadi wakil kepada rakyat adalah dilihat jelas.

“Lihat sahaja kenyataan-kenyataan wakil rakyat hanya diberikan kepada wakilnya iaitu Ramzi Rasit yang mana rakyat juga tahu keadaannya di kampung.

“Maka di sinilah cerminan kegagalan wakil rakyat Beting Maro untuk bercakap, diam seribu bahasa adalah sinonim bagi beliau.

“Sikap inilah menjadi faktor ramai pengikut PBB kini telah mengisi borang Pas dan menyertai cawangan-cawangan Pas yang berkembang pesat sehingga membentuk 30 cawangan sedia ada di seluruh Beting Maro,” tegas beliau.

Sehubungan itu, Hipni berkata Pas tidak akan berganjak.

“Ia adalah realiti yang perlu difahami oleh PBB dengan sebanyak 3,000 ribu undi terus bertambah sejak Pas menyertai pilihan raya di DUN Beting Maro sekali gus ia adalah signal dan protes penolakan kepada PBB.

“Bagi kami di lapangan, hanya pimpinan Pas sahaja yang berhak menjadi jurucakap kepada dasar dan pendirian parti dan perkara ini harus disedari oleh PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Inilah didikan Pas kepada kami dan seluruh ahli-ahlinya, selain kami sangat berlapang dada menyuarakan hasrat bukan kerana berebut kerusi seperti parti lain, tetapi hasrat pengundi yang sekian lama ditambah lagi dengan bukti kegagalan wakil rakyat sedia ada melalui laporan kajian ilmiah yang dilakukan.

“Jika mahu terus mencipta polemik tanpa had, kedua-dua parti iaitu PBB dan GPS akan rugi kerana undi ini pasti akan jatuh ke tangan musuh. Semoga pucuk pimpinan dapat menyelesaikan konflik ini segera,” tambahnya lagi.