Malaysia Dateline

Pas seru ketepi berpolitik, dukung semua keputusan Kabinet PM

Pas dalam kenyataan ringkasnya sebentar tadi menegaskan pendirian mendukung sistem Raja Berperlembagaan dalam kerangka Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man juga berharap semua pihak tidak berpolitik ketika negara dilanda penularan wabak Covid-19.

“Pas berdiri teguh bersama Perdana Menteri dalam mendukung semua keputusan yang telah diputuskan oleh Kabinet.

“Pas menyeru semua pihak untuk kekal bersatu padu dan mengenepikan politiking dalam menguruskan negara ketika situasi pandemik Covid-19,” katanya.

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air itu, kestabilan politik serta perpaduan rakyat sangat diperlukan dalam menghadapi ancaman pandemik.

Pas dilihat menerima kecaman banyak pihak berhubung isu pembatalan semua Ordinan Darurat seperti diumum Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang juga Setiausaha Agung Pas.

Istana Negara hari ini menafikan hal tersebut telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menerusi kenyataan hari ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman kerajaan itu.

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri di Parlimen pada 26 Julai adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

“Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen.

“Ia bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara, malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Ahmad Fadil dalam kenyataan hari ini.