Pas sifatkan Bajet Negeri Perak mesra rakyat, pilihan raya

Pas sifatkan Bajet Negeri Perak mesra rakyat, pilihan raya

Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak Radzi Zainon menyifatkan bajet negeri yang dibentangkan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai bajet mesra rakyat dan mesra pilihan raya.

Beliau berkata, rakyat dijangka akan mendapat pelbagai faedah daripada bajet negeri itu berjumllah RM1.17bilion tersebut.

Katanya lagi intipati Bajet 2018 Negeri Perak itu juga dilihat terus kepada rakyat di peringkat akar umbi.

“Pas anggap Bajet 2018 Negeri Perak ini sebagai mesra rakyat dan mesra pilihan raya umum kerana banyak pemberian kepada rqkyat sebagaimana dilakukan kerajaan persekutuan.

“Perak juga dilihat menambah beberapa peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan seperti untuk golongan imam dan bilal serta guru agama.

 

“Pas tidak kata sokong secara keseluruhan Bajet 2018, namun ia bajet mesra rakyat dan mesra pilihan raya umum,” katanya dalam sidang media sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Ke-13 di Bangunan Perak Darul Ridzuan,semalam.

Radzi berkata, pihaknya juga mengemukakan beberapa perkara bagi menambah baik bajet berkenaan antaranya dalam isu pemilikan rumah mampu milik dalam kalangan rakyat.

Ini kerana, menurutnya, tumpuan yang lebih kepada pembangunan infrastruktur menyebabkan beberapa pembangunan insan tergendala.

Katanya, penambahan Kedai Bergerak 1Aman Jaya (KB1AJ) pada Bajet 2018 contohnya sesuatu yang baik untuk rakyat cuma perlu pemantauan daripada sudut kejayaan atau kegagalan program tersebut.

“Begitu juga peranan masjid. Akibat tiada modul pengurusan institusi masjid yang lebih efektif, masjid kini tidak lebih hanya berperanan untuk menunaikan solat jemaah semata-mata,” katanya.

Semalam, Zambry membentangkan Bajet Perak 2018 bertemakan ‘Rakyat Aman dan Jaya’ berjumlah RM1.17 bilion dengan lima fokus utama bagi memastikan pembangunan dan pengupayaan ekonomi rakyat terus dilaksanakan.

Daripada keseluruhan bajet itu, sebanyak RM755.59 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan me­ngurus manakala RM421.28 juta bagi perbelanjaan pembangunan.

CATEGORIES