Pas silap besar tolak tahaluf siyasi dengan bukan Islam, kata Salleh Man

Mohd Salleh menyambut orang ramai yang hadir majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Cherok Tok Kun Atas, Bukit Mertajam petang tadi.

Sebagai Adun Pas yang mewakili Dun Permatang Pasir selama dua penggal, sudah pasti amat terasa hati apabila seolah-olah tidak dipedulikan oleh parti yang pernah dianggotai selama lebih 30 tahun.

Demikian diluahkan oleh bekas Adun Permatang Pasir, Datuk Mohd Salleh Man ketika ditemui semasa majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Cherok Tok Kun Atas, Bukit Mertajam, petang tadi.

“Semasa pilihan raya umum (PRU) ke-14 baru-baru ini pun tidak seorang pun pimpinan Pas kawasan maupun negeri yang bertanya khabar.

“Saya tidak pernah mengasingkan diri, tetapi Pas yang mengasingkan diri dari saya.

“Lebih 30 tahun dalam Pas, saya telah menerajui kepimpinan Ketua Pemuda Pas Negeri Pulau Pinang dan merupakan salah seorang daripada Pesuruhjaya Pas yang begitu lama memimpin di Pulau Pinang,” ujarnya kesal.

Walau bagaimanapun saya amat berbangga apabila perjuangan pada peringkat awal untuk menjatuhkan Umno dan Barisan Nasional (BN) menjadi realiti dalam PRU14 9 Mei baru-baru ini.

“Perjuangan yang saya lakari semasa memimpin Pas adalah untuk melihat Umno dan BN kalah dan tumbang.

“Akhirnya ia menjadi realiti walaupun Pas sendiri tidak menunjukkan pendirian mereka untuk menumbangkan Umno dan BN dalam PRU14 yang lalu.

“Mereka seharusnya ingat dan melihat semasa saya tidak diperlukan lagi, sebenarnya saya telah wujud sebelum itu,” jelasnya.

Menurut Mohd Salleh lagi, beliau amat terasa hati kerana ia juga merupakan salah seorang penggerak yang telah membina parti dan merupakan Pesuruhjaya Pas yang paling lama menerajui Pas Pulau Pinang.

Tegasnya lagi, beliau pernah menerajui kepimpinan Pas Pulau Pinang sebagai Ketua Pemuda Pas Negeri, Ketua Dewan Ulama Pas Negeri sehinggalah kepada Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang.

Menyentuh mengenai hala tuju beliau selepas ini katanya, memang wujud perbincangan dengan beberapa pimpinan komponen parti dalam Pakatan Harapan (PH).

“Pendirian mengenai parti yang akan disertai akan diisytiharkan tidak lama lagi.

“Namun begitu usaha bagi membela nasib rakyat akan tetap diteruskan sama ada melalui NGO maupun saluran yang lain.

“Yang pasti membantu mereka yang memerlukan sudah menjadi sebati dan akan diteruskan walaupun tidak dipedulikan lagi oleh pimpinan Pas,” tambahnya lagi.

Beliau yang juga merupakan mantan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang tidak menolak kemungkinan menerima pelawaan Pakatan Harapan untuk meneruskan perjuangan selepas ini.

Walau bagaimana pun jelasnya, ia mengambil sedikit masa untuk mengumumkan pendirian serta parti yang akan didokong oleh beliau selepas ini.

Kata beliau lagi, Pas tersilap langkah kerana menolak tahaluf siyasi dengan bukan Islam dalam PRU ke-14 yang lalu, sedangkan semasa berada bersama Pakatan Rakyat dalam PRU ke-13 mereka mendapat banyak manfaat.

Akhirnya dengan keputusan yang dibuat dalam PRU14 dengan menolak tahaluf siyasi yang sama dengan PH, menyaksikan Pas membuat kekhilafan yang besar dengan menjadi pembangkang sekali lagi.

8.8
OVERALL SCORE
: 6.0
3 user votes x 9.7
CATEGORIES
TAGS