Pas soal PKR: Selepas serang, mahu berunding?

Pas soal PKR: Selepas serang, mahu berunding?

PKR perlu menarik semua tuduhan yang dibuat pimpinan parti itu kepada Pas sebelum mahu berunding semula dengan mereka, kata Bendahari Dewan Ulamak Pas Pusat Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau mempersoal sebab PKR mahu berunding semula selepas menyerang Pas dan Presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menimbulkan banyak tanda tanya.

“Setakat ini, tidak ada sebarang perbincangan dengan PKR. Pas kekal seperti keputusan sebelumnya iaitu bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) untuk berhadapan dengan Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang.

“Kita akan bertegas dengan agenda Islam bagi menyelamatkan negara,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

{loadposition myposition}

Beliau mengulas kemungkinan Pas dan PKR akan berunding semula menjalinkan hubungan kerjasama untuk PRU14.

Baru-baru ini, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam suratnya mahu hubungan PKR dengan Pas diteruskan selagi parti Islam itu bersedia untuk meneruskan perbincangan.

Pada minggu lalu, Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Pas. Keputusan itu dibuat sebelum kenyataan Anwar dikeluarkan.

Ditanya sama ada Pas bersedia berunding jika PKR bertegas mahu menjalinkan kerjasama, Mohd Khairuddin berkata; “Berkahwin tak boleh seorang atau bertepuk sebelah tangan. Selepas menyerang Pas dengan pelbagai tuduhan, tiba-tiba hendak berunding?”

 

CATEGORIES
TAGS