Pas sokong cadangan Jemaah Pengampunan Pahang guna kaedah diyat

Pas sokong cadangan Jemaah Pengampunan Pahang guna kaedah diyat

Pas merakam sepenuh penghargaan dan tahniah kepada Jemaah Pengampunan Pahang yang bercadang mengguna pakai kaedah diyat sebagai alternatif terhadap banduan yang berhadapan hukuman mati bagi sabitan membunuh.

Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kaedah ini bukan sahaja memberi hak kepada waris untuk menuntut ganti rugi atau memaafkan pesalah, sebaliknya ia memberi peluang kepada pesalah yang dihukum mati mendapatkan kemaafan atau gantirugi dari waris si mati.

“Lebih penting daripada itu, kaedah ini membuka peluang kepada keluarga mangsa untuk menghapuskan dendam kepada penjenayah dan juga peluang kepada penjenayah untuk berubah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Ibn Sultan Haji Ahmad Shah bertitah, kaedah itu yang dipercayai tidak pernah dilaksanakan di negeri lain sudah dibincangkan pada mesyuarat lembaga jemaah pengampunan.

Baginda bertitah diyat juga sesuai untuk dipraktikkan kepada bangsa-bangsa lain, tidak tertakluk kepada orang Islam semata-mata, bagi menunjukkan ketinggian dan kebaikan agama Islam.

Justeru, Tuan Ibrahim berkata, Pas menyokong cadangan Tengku Abdullah itu dan menggesa para mufti dapat bersatu untuk menyokong dan mengangkat cadangan Tengku Abdullah ini.

“Sehubungan itu Pas berharap Majlis Pengampunan Negeri-Negeri lain turut melaksanakan kaedah yang sama, demi mengangkat sistem perundangan Islam di negara ini.

“Kaedah diyat ini wajar disokong kerana ia dapat menunjukkan ketinggian dan kebaikan agama Islam,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)