Malaysia Dateline

Pas sokong calon BN di Tanjung Piai

Pas mengesahkan untuk menyokong calon yang dikemukakan Barisan Nasional (BN) Wee Jeck Seng pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor pada 16 November depan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan hari ini berkata, calon tersebut turut dipersetujui oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Wee Jeck Seng dari MCA.

Katanya, sokongan yang dizahirkan itu juga selaras dengan persefahaman yang dipersetujui dalam Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas yang ditandatangani pada 14 September lalu.

“Pas yakin pemilihan calon tersebut dibuat berdasarkan kepentingan setempat di Parlimen Tanjung Piai sendiri yang diharap menjadi formula terbaik untuk meraih undi bagi menguatkan lagi suara pembangkang di peringkat nasional, seterusnya membawa pendekatan politik matang yang tidak melampau.

“Pas juga akan menghantar wakil-wakilnya dari kalangan pimpinan kanan parti untuk menghadiri hari penamaan calon yang dijadualkan 2 November sebagai sokongan kepada calon pembangkang,” katanya dalam kenyataan itu.

Semalam Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad mengumumkan Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, 55, akan kembali bertanding merebut kerusi Parlimen Tanjung Piai.

Hasni berkata pemilihan Jeck Seng sebagai calon adalah keputusan sebulat suara kepimpinan BN dan dipersetujui Pas.

Pengumuman itu menamatkan spekulasi bahawa UMNO akan meletakkan calon bagi mewakili BN pada PRK bagi kerusi parlimen itu, yang secara tradisi ditandingi calon daripada MCA.

PRK Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November ini, manakala tarikh penamaan calon pada Sabtu ini (2 Nov) dan pengundian awal pada 12 Nov.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr Md Farid, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lepas berikutan komplikasi jantung.

Pada PRU14, Dr Md Farid, seorang pakar bius, memenangi kerusi Parlimen itu dengan memperoleh 21,255 undi menewaskan Wee (20,731 undi) dan calon PAS Nordin Othman (2,962 undi).