Malaysia Dateline

Iskandar Abdul Samad

Pas sokong Khalid MB Selangor disalahtafsir, kata Iskandar

Tan Sri Khalid Ibrahim

Naib Presiden Pas Datuk Iskandar Abdul Samad berkata kenyataan Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi berhubung kesediaan Pas Selangor untuk menyokong Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai menteri besar, mungkin telah disalahtafsir.

Beliau yang juga exco kerajaan Selangor itu berkata, ini kerana perkara tersebut tidak pernah dibincangkan dalam parti.

“Sebab keputusan sepenting ini tidak boleh diputuskan oleh satu orang sahaja, perlu ada satu perbincangan (secara terperinci dan meluas),” katanya seperti dipetik Sinar Harian, hari ini.

Bekas pesuruhjaya Pas Selangor itu berkata lagi, banyak perubahan telah berlaku dalam kerajaan negeri serta suasana politik di negeri itu sejak Khalid berundur daripada jawatan menteri besar pada 2014.

“Pendapat exco dan bekas exco Pas yang pernah berkhidmat di bawah bekas menteri besar Selangor itu juga perlu juga diambil kira,” katanya lagi.

Sallehen semalam dilaporkan berkata, Pas Selangor sedia untuk memberi laluan kepada Khalid untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan (Dun) tanpa sebarang syarat.

Berhubung Khalid sebagai menteri besar pula, Sallehen berkata mereka secara prinsip sedia menyokong Khalid walaupun beliau tidak bertanding di bawah tiket parti itu, namun ia bergantung kepada kepimpinan peringkat pusat.

Minggu lalu, Khalid yang kini menjadi Adun bebas berkata beliau tidak akan menyertai Pas namun akan membantu kempen parti itu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pada hujung tahun lalu, beliau juga dilaporkan menyatakan sanggup bekerjasama dengan Umno pada PRU akan datang untuk kebaikan rakyat Selangor.