Malaysia Dateline

Pas sokong Umno tidak desak PRU-15

Pas hari ini menyatakan sokongan terhadap pendirian Umno yang tidak mendesak kerajaan supaya mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam waktu terdekat kerana negara masih berdepan dengan wabak Covid-19.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pendirian tersebut amat tepat dan kena pada masanya memandangkan fokus seluruh jentera kerajaan adalah bagi memerangi pandemik Covid-19 yang masih belum reda.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini sebagai reaksi terhadap kenyataan Pengarah Pilihan Raya Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

“Begitu juga parti-parti politik turut sama menumpukan kepada usaha membantu rakyat yang terkesan teruk dengan wabak ini bukan sahaja dalam aspek kesihatan tapi juga aspek ekonomi,” katanya.

Semalam, Tajuddin yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berkata, jika desakan untuk mengadakan PRU-15 diteruskan, hanya akan menyukarkan usaha kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerangi penularan pandemik Covid-19.

Bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) itu turut menyeru ahli Umno membantu kerajaan dalam usaha memberi fokus mencegah, memerangi serta mengurangkan risiko kadar kebolehjangkitan virus pandemik tersebut.

Sehubungan itu, Takiyuddin juga berkata, partinya menyeru semua pihak terutama parti-parti politik dan NGO tanpa mengira fahaman dan aliran pemikiran agar bersama membantu kerajaan PN menguruskan dan menyelesaikan wabak yang merupakan darurat besar (grave emergency) ini.

“Ini sekaligus bermaksud isu-isu yang boleh menimbulkan ketegangan, keburukan dan kerugian masa, tenaga dan kewangan wajar dielakkan semaksima mungkin.

“Pas yakin kerajaan akan terus mengambil langkah-langkah yang proaktif dengan mengambil kira pandangan dan cadangan semua pihak bagi memastikan kebaikannya akan dirasai oleh seluruh rakyat dan penduduk Malaysia,” tambahnya lagi.