Malaysia Dateline

Pas suburkan judi setelah berpeluang mencantasnya

Dalam ayat 90, surah al-Maidah, Allah SWT berfirman yang maksudnya, Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya meminum arak, berjudi, menyembah berhala, dan menenung nasib itu perbuatan keji dan kotor dari amalan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

Umat Islam tentu mengetahui peringatan Allah ini. Para pemimpin Pas, parti yang mendakwa memperjuang Islam juga pasti mengetahuinya.

Sebelum menjadi kerajaan pusat, Pas sentiasa mengkritik kerajaan yang memerintah, terutama ketika Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang turut dianggotai pemimpin Amanah, dalam hal larangan arak dan judi, serta mahu memerangi/membanterasnya jika berkuasa nanti.

Umat Islam, terutamanya ahli dan penyokong Pas berasa gembira dan lega dengan iltizam itu. Walau bagaimanapun, Pas berubah 360 darjah setelah menjadi kerajaan. Tiada penambahbaikan atau perubahan positif terhadap perkara-perkara yang dikritiknya.

Ternyata Pas hanya didukungi para pemimpin yang prinsip perjuangan Islam mereka hanya palsu – ‘penunggang agama’ demi meraih sokongan untuk berkuasa/menjadi kerajaan.

Kenyataan Setiausaha Politik kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Mohd Zuhdi Marzuki mengenai isu lesen judi di negara kita amat mengelirukan.

Menurut Zuhdi, judi berlesen lebih mudah untuk diharamkan berbanding yang lain. Namun begitu, jelas beliau, ia hanya ‘disasarkan’ dapat dilakukan pada 2025.

Jika lebih mudah dilakukan sekarang mengapa menunggu lima tahun? Menurut Zuhdi, fasa pertama Wawasan Induk Negara Sejahtera atau WINS untuk membanteras judi ialah dari 2018 hingga 2020.

Mengikut rekod, Kerajaan PH telah mengurangkan bilangan cabutan khas 4D dari 22 bilangan cabutan setahun (asalnya pada 1999, kepada 12 kali pada 2019, dan dikurangkan lagi kepada 8 kali pada awal 2020.

Malangnya, secara diam-diam, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menaikkan kembali bilangan cabutan tersebut kepada 22.

Amat menghairankan! Kalau benar hasrat membanteras judi dalam fasa kedua menuju 2025, mengapa menambah semula jumlah cabutan itu?

Perlu diingat bahawa Presiden Pas sebagai Duta Khas Timur Tengah bertaraf menteri penuh, sementara Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama juga dari Pas.

Pun begitu, aneh pula apabila Ketua Pemuda Pas, Khairil Nizam, bersetuju dengan saranan Senator PH dari DAP agar judi dihentikan terus, berbeza dengan pandangan Zuhdi.

Mengapa sedemikian? Amat jarang pimpinan Pas bercanggah pendapat secara terbuka dalam isu sebegini.
Adakah ia satu muslihat dan sandiwara untuk menutup kelemahan Pas tidak mengotakan janji mereka mengharamkan judi setelah menjadi kerajaan?

Janji untuk mengharamkan judi pernah dinyatakan dengan jelas oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Ahmad Marzuk Shaary.

Bukan hanya isu judi, banyak lagi janji dalam isu utama lain seperti pelaksanaan hudud, Rang Undang-Undang 355, pembelaan kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, dan sikap menentang kekejaman Israel telah Pas mungkiri.

Lebih malang, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim, yang juga dari Pas menyokong kuat penyertaan Malaysia dalam Ekspo 2020 di Dubai (1 Oktober 2021-31 Mac 2022) bersama-sama Israel semasa rakyat Palestin terus dizalimi, dan dibunuh oleh regim Zionis Yahudi itu.

Paling ironis, Pas pernah menuduh ‘Islam terancam’ semasa Kerajaan PH memerintah, tetapi setelah kerajaan Melayu Islam yang disertainya berkuasa, bilangan cabutan judi 4D dinaikkan semula.

Kelakar dan tambah ironis, senator dari DAP, parti yang dituduh Pas menjadi ‘musuh Islam’ telah menegur tambahan kegiatan judi 4D itu, sementara Pas yang pada mulanya membisu, cuba membuat justifikasi pula.

Sukar dipercayai, tetapi inilah hakikat yang perlu ditelan, dan terpaksa diterima. Pas kian hanyut dan menjadi hamPas!

Inilah yang dikatakan kegagalan sesuatu kumpulan manusia apabila diuji dengan kuasa, dan kedudukan, mereka gagal menangani ujian amanah Allah yang diberikan itu dengan baik.

Senator itu, Liew Chin Tong menyarankan agar Kerajaan PN mengikut langkah Kerajaan PH mengurangkan kekerapan cabutan khas ramalan nombor 4D.

Kata Chin Tong, majoriti yang terlibat dalam aktiviti perjudian merupakan golongan B40, dan mencuba nasib dengan harapan memperoleh habuan lumayan.

Ramai antara mereka, tambah Chin Tong, yang ketagih berjudi, dan menimbulkan pelbagai masalah sosial lain. Mereka akan terus mencuba nasib dengan cabutan khas.

Cabutan khas ramalan nombor 4D telah dimulakan pada 1999 untuk membantu mangsa wabak virus Nipah ketika itu.
Kerajaan ketika itu mengizinkan syarikat judi mengadakan cabutan khas selain daripada tiga hari cabutan seminggu yang ditetapkan.

Dalam setahun terdapat 156 hari cabutan biasa, dan 22 hari cabutan khas. Sebahagian besar pendapatan daripada cabutan khas itu disumbangkan terus kepada aktiviti kerajaan.

Jelas Chin Tong, pada 2017, kerajaan mengutip RM238 juta melalui cabutan khas, walaupun wabak virus Nipah telah berakhir.

 

RAYUSA seorang penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air.