Malaysia Dateline

Pas sudah hilang kredibiliti

Pas kini sudah hilang kredibiliti setelah apa yang pimpinannya lakukan. Jika sebelum ini mereka begitu lantang dengan kempen berbau perkauman dan diskriminasi agama dengan menolak calon bukan melayu dan bukan Islam, kini Pas muncul dengan dalih pula demi memenangkan calon MCA dalam pilihanraya kecil Parlimen Tanjung Piai yang bakal berlangsung 16 November nanti.

Menurut Pengarah Undang-Undang Pakatan Harapan Kelantan Hisham Fauzi lagi kenyataan ulamak-ulamak Pas sebelum ini telah dengan mudahnya berubah dari bertegas wajib undi calon Melayu Islam kepada menyatakan hukum wajib undi Melayu Islam tidaklah mutlak.

Kenyataan Hisham dipercayai merujuk kepada kenyataan Ketua Ulamak Pas semalam yang menyatakan hukum wajib undi calon Melayu Islam tidaklah mutlak.

“Hukum agama diubah semahu mereka. Pertimbangan yang ada hanyalah demi kuasa semata-mata. Islam agama yang suci tapi mereka tanpa segan silu memanipulasinya, ” ujar Hisham lagi.

Katanya, malah Pas sendiri gagal menguruskan rumahtangga Gagasan Sejahtera (GS) yang diketuainya apabila ada pimpinan dari parti Ikatan sudah bersuara tentang kegagalan fungsi GS dalam menghadapi pilihanraya ini apabila parti anggota GS iaitu Barjasa turut mengumumkan bertanding dan akan menentang calon MCA yang disokong Pas.

Hisham yang juga merupakan Ketua Amanah Kawasan Tanah Merah turut mengajak masyarakat Malaysia menolak sikap pas yang hanya mementingkan survival politik sendiri dan sebenarnya tidaklah berminat berkongsi kuasa dengan BN.

“Semua orang tahu masih ada jawatan Timbalan Menteri Besar (II) Kelantan yang masih belum di isi. Kenapa Pas tidak berikan kepada BN jawatan ini jika benar Pas jujur bersama BN?” soal Hisham.

Untuk rekod jawatan Timbalan Menteri Besar (II) ini pernah diisi oleh Datuk Rozali Isohak dari parti Semangat 46 ketika kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah di Kelantan dahulu.

“Saya menyeru rakyat Tanjung Piai untuk terus mengundi Pakatan Harapan dan menolak politik perkauman, fitnah dan adu-domba yang dibawa BN dan rakan kongsi Pas. InsyaAllah kita akan sama-sama membina Malaysia baharu yang lebih cemerlang mulai sekarang,” katanya.