Pas sudah jadi ‘parti was-was’, kata Mahfuz

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, Pas kini sudah menjadi ‘parti was-was’ ekoran kecelaruan hala tuju serta matlamat parti itu menyertai pilihan raya umum ke-14 (PRU) yang akan berlangsung dalam masa terdekat.

Kata Mahfuz, beliau difahamkan bahawa ahli dan pengundi-pengundi PAS keliru memikirkan mana satu matlamat Pas dalam menyertai PRU14 akan datang.

“Di sebalik kenyataan hendak memerintah dengan bertanding 130 kerusi, Tok Guru Presiden Pas menyatakan jika tidak dapat memerintah Malaysia bersendirian, maka matlamat mensasarkan untuk mendapat 40 kerusi tetap menjadi keutamaan Pas.

“Seterusnya Tok Guru Presiden PAS dalam satu kenyataan mendakwa bahawa Pas mahu tawan lima (5) negeri pada PRU14 iaitu kekal Kelantan, tawan Terangganu, Selangor, Kedah dan Perlis.

“Ini bermakna Pas penuh kerelaan untuk membiarkan Umno-Barisan Nasional (BN) kekal memerintah di negeri-negeri lain dan ini pernah diungkap oleh Tok Guru Presiden dengan menyatakan “kalau negeri lain Umno-BN nak perintah biar ke dia”,” kata beliau dalam kenyataan medianya semalam.

Kata beliau lagi, kini Pas menyatakan pula untuk bersedia menjadi penasihat kepada kerajaan yang memerintah.

“PAS dah jadi ‘parti was-was’,” kata beliau.

Jelas Mahfuz, Pas tidak perlu bertanding dalam PRU14 jika sekadar ingin menjadi ‘kuasa penentu’ atau penasihat kerajaan.

“Untuk jadi penasihat tidak perlu susah payah habiskan wang ahli Pas bertanding sampai 130 kerusi Parlimen dan sejumlah kerusi Dun.

“Adalah lebih baik duit tersebut dibelanjakan untuk kerja-kerja dakwah dan pendidikan ummah. Nak jadi Tuan Penasihat tak perlu bertanding dan tak perlu kerusi pun boleh jadi penasihat,” katanya.

Beliau menyeru kepada ahli dan pengundi Pas serta pengundi keseluruhannya, tiada lagi keperluan buat mereka untuk mengundi Pas.

“Jangan biar diri kita menjadi mangsa mainan politik Pas, jangan biarkan undi kita menjadi barang dagangan politik pimpinan Pas.

“Jangan biarkan undi dan diri kita dijual oleh pimpinan Pas kepada Umno-BN selepas PRU14 atas nama ‘king maker’ untuk menjadi tongkat dan ‘pelapik tiang’ Najib Razak dan penyangak Umno-BN yang mereput,” kata beliau.

8.0
OVERALL SCORE
: 6.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS