Malaysia Dateline

Pas sukar jadi pendamai Umno, Bersatu

Pas yang mempunyai 18 kerusi Parlimen dijangka sukar menjalankan peranan sebagai ‘gam’ bagi merapatkan kembali hubungan tegang antara Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sekali gus merealisasikan pembentukan koalisi perdana parti Melayu.

Peranan yang dipertanggungjawabkan kepada Pas itu dianggap hampir mustahil, kata penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain.

Menurutnya, pengaruh dan ego Umno dan Bersatu adalah sangat kuat dalam kalangan pengundi Melayu.

Jelasnya, sejarah politik negara juga membuktikan tiada parti dalam sesuatu koalisi politik yang mampu menjadi pendamai kepada parti-parti seangkatan yang bertelagah sesama mereka.

“Saya ambil contoh Parti Amanah Negara (AMANAH) gagal menjadi gam mendamaikan Bersatu dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Bahkan PKR sendiri pun gagal mendamaikan Pas dan DAP sewaktu koalisi Pakatan Rakyat (PR),” dipetik Sinar Harian.

Untuk rekod, Bersatu pada masa ini mempunyai 31 kerusi termasuk kumpulan Azmin Ali dari PKR yang kemudiannya terbabit dalam Langkah Sheraton manakala Umno mempunyai 39 kerusi Parlimen.

Mengulas lanjut, Mohd Izani berpendapat Pas bagaimanapun diyakini akan cuba memainkan peranan pendamai itu sebaiknya untuk memastikan koalisi perdana parti Melayu dapat dimuktamadkan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian yang menegaskan hala tuju pembentukan koalisi perdana parti Melayu kini terletak di tangan Pas.