Pas tak hadir pelancaran PPBM kerana Amanah, DAP ada – Iskandar

Pas tak hadir pelancaran PPBM kerana Amanah, DAP ada – Iskandar

 

Pas membuat keputusan untuk tidak hadir di Majlis Pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Stadium Malawati, Sabtu lalu kerana kehadiran Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.

Naib Presiden Pas Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, Pas tidak mempunyai hubungan politik dengan kedua-dua parti tersebut menyebabkan pimpinan sebulat suara mengambil keputusan tidak hadir ke pelancaran parti Bersatu.

Beliau turut menafikan ketidakhadiran parti itu kerana ingin bersenkongkol dengan BN atau sayang kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.

Namun Iskandar berkata, pihaknya kecewa apabila pelbagai tuduhan dan dakwaan dilempar kepada Pas kerana isu ‘tidak hadir’ tersebut termasuk mengatakan ia seolah-olah menghina Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad dan parti pembangkang keseluruhannya.

“Kita tidak hadir kerana kebetulan sebahagian kami ada urusan lain, saya dapat tahu Tun M mengatakan Pas seolah-olah hanya berpura-pura melawan Umno dan nak pecah belahkan undi supaya BN menang.

“Tun tak patut katakan demikian kerana ahli Pas dah banyak jadi mangsa kezaliman Umno dan BN,” katanya, memetik laporan Sinar Harian.

Menurut Iskandar juga, Pas ketika ini bertempur dengan Umno dan BN di semua peringkat.

“Kita memang ada pertempuran sekarang ini…memang berlaga dengan Umno di semua peringkat.

“Jadi tak betullah jika katakan Pas tak hadir ke majlis pelancaran kerana nak adakan kerjasama politik dan sebagainya dengan BN. Ketidakhadiran kami hanyalah perkara kecil,” katanya.

Beliau berkata, yang pentingnya masih ada pertemuan dan hubungan berterusan antara kedua-dua parti Pas dan PPBM.

Katanya, Pas tiada masalah untuk menjemput pemimpin parti itu untuk bersama-sama dalam program dianjurkan parti itu.

Pihaknya pernah menjemput, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam program dianjurkan dan bakal mengadakan program bersama Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam masa terdekat.

“Kita tiada masalah dari segi hubungan dengan Bersatu, jadi tidak betul dakwaan dilempar kepada kami.

“Mereka yang tuduh kami sayang BN dan Umno perlu kaji semula sejarah politik Malaysia, lihat apa yang dilalui Pas, memang kita tak akan lupa apa yang dilakukan oleh kerajaan Umno Barisan Nasional,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)