Malaysia Dateline

Pas tak mampu lahirkan menteri berwibawa

Di Pantai Barat, calon Pas bertanding guna lambang Perikatan Nasional. Di Pantai Timur, calon Bersatu bertanding guna logo Pas.

Maka sekali pandang, pengundi tak dapat mengetahui mana satu calon Pas, mana satu calon Bersatu. Masalah bagi calon Pas adalah kemampuan mereka apabila memperoleh jawatan kerajaan.

Mentadbir negara adalah kerja serius dan berat. Ia bukan saja perlukan kemampuan memimpin tetapi juga pengetahuan dan minat terhadap isu semasa bersifat nasional dan global.

Sebab itu, bagi perkhidmatan awam, ia perlukan kelayakan, latihan dan pengalaman supaya mereka dapat menjalankan tugas untuk rakyat dan negara secara cekap.

Tetapi dalam sistem demokrasi, pentadbiran negara yang dilaksanakan oleh jentera perkhidmatan awam ini diketuai oleh ahli politik.

Mereka ini menjadi anggota kerajaan atas pilihan rakyat melalui proses demokrasi. Ahli-ahli politik ini dicalonkan oleh parti untuk bertanding dalam pilihan raya bagi mewakili penduduk kawasan masing-masing.

Jika mereka menjadi sebahagian daripada kerajaan, maka wakil-wakil rakyat inilah yang dipilih untuk menjadi menteri.

Maka dalam kerajaan PN-BN baru-baru ini, ahli-ahli Pas turut menjadi anggota kabinet. Itupun presiden parti yang dapat memegang jawatan setaraf menteri tidak mengetuai mana-mana kementerian.

Hatta, beliau tidak pun dilantik menjadi menteri kanan, jauh sekali menjadi timbalan perdana menteri. Ini bukan soal politik semata-mata, tetapi kemampuannya untuk menjadi menteri yang cekap.

Soal kemampuan juga timbul terhadap menteri-menteri Pas yang lain. Selama ini pun tidak pernah terdengar pemimpin-pemimpin Pas mengambil berat mengenai isu-isu alam sekitar, jauh sekali aktif dalam memperjuangkannya.

Mereka juga bukanlah dari kalangan aktivis NGO dalam soal alam sekitar itu. Semasa menjadi ahli parlimen, mereka juga tidak mengetengahkan isu-isu alam sekitar.

Maka apabila ahli politik Pas menjadi menteri yang menjaga air dan alam sekitar, apalah yang dapat diharapkan bahawa mereka boleh mengetuai kementerian dalam bidang itu.

Begitu juga terhadap kementerian bidang lain. Umpamanya menteri yang bertanggung jawab terhadap komoditi seperti minyak sawit.

Jika sebagai ahli politik Pas yang saban hari berceramah di sana sini, walaupun ada terlibat dengan perniagaan, tetapi jika pengetahuan dan kesedaran terhadap ekonomi dunia tidak menjadi minat selama ini, adakah adil bagi negara ini untuk memiliki menteri sedemikian rupa?

Semenangnya pegawai-pegawai kementerian akan nasihatkan menteri. Ahli politik tidak perlu dan tidak akan mampu mengetahui semua perkara.

Tetapi untuk menjadi ahli politik berwibawa, sekurang-kurangnya pengetahuan isu-isu semasa ada dalam fikirannya bagi membolehkannya memimpin kementerian dengan baik.

Menteri pula kena ada wawasan terhadap kementeriannya. Bukan sekadar menghadiri acara-acara rasmi dan membaca ucapan yang dia tidak tahu hujung pangkalnya.

Gaji dan elaun menteri dibayar bukan untuk majlis rasmi atau hadiri persidangan di luar negara semata-mata.

Mengapakah Pas tidak dapat melahirkan menteri-menteri berwibawa? Ini kerana Pas tidak menarik bagi anak-anak muda yang berbakat.

Mereka yang menyertai Pas melakukannya atas asas sentimen agama dan kaum tanpa berpijak pada realiti.

Apabila Pas menyertai kerajaan PN-BN baru-baru ini. menteri mereka berdepan dengan realiti. Akibatnya; apa yang mereka laungkan sebelum ini ternyata tidak dapat dilaksanakan.

Berbagai helah digunakan untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab terhadap ucapan-ucapan mereka sebelum ini.

Akhirnya Pas hanya dijadikan alat oleh parti lain, iaitu Umno dan Bersatu untuk mengukuhkan kuasa mereka. Bila mereka kuat, Pas akan dipinggirkan dengan begitu saja.