Malaysia Dateline

Datuk Mahfuz Omar

Pas tak sokong BN di Semenyih: Siapa berbohong, Tun M, Hadi atau TITM?

ULASAN: Pengerusi Pakatan Harapan, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kenyataannya hari ini mendakwa Presiden Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang ketika mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri itu telah menyatakan bahawa Pas tidak akan menyokong Umno pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih. Sekiranya benar kenyataan Tun M itu, ia adalah sesuatu yang sangat mengejutkan.

Perakuan tersebut dikatakan dibuat di hadapan Tun M sehari sebelum penamaan calon PRK Semenyih, ia menimbulkan persoalan apakah perakuan Abdul Hadi itu benar atau bohong?. Ini berdasarkan kepada isu pengakuan Pas terima duit Umno di dalam audio ucapan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh yang mana Pas telah mengesahkan kesahihan audio tersebut biarpun Nik Abduh menafikan sekeras-kerasnya sebelum ini. Nik Abduh mengatakan Presiden Pas telah merestui tindakannya berbohong kerana katanya tak salah berbohong kerana menjaga kepentingan Pas.

Timbul persoalan, apa muslihat Presiden Pas membuat perakuan tersebut di hadapan Tun M sedangkan Pas sudah menyatakan dari awal lagi akan menyokong Umno-BN untuk menguatkan pembangkang. Pesuruhjaya Pas Selangor dari awal lagi menyatakan Pas akan memastikan lebih enam ribu undi yang diperolehi Pas pada PRU14 yang lalu akan diberikan (lelongan undi) kepada Umno-BN pada PRK kali ini. Adakah ini sekali lagi kaedah pembohongan syarie dibuat oleh Pas demi kepentingan tertentu?

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahin Tuan Man juga dalam kenyataannya tiga hari yang lalu di Kota Bharu ketika sidang media selepas program Forum Murabbi Ummah menyatakan Pas akan mengerahkan seluruh jenteranya untuk membantu kemenangan calon BN di PRK Semenyih. Pada hari penamaan calon pula, Naib Presiden Pas bersama pimpinan yang lain telah mengetuai jentera Pas bersama-sama pimpinan Umno-BN mengiringi calon BN.

Persoalannya, mana satu yang benar dan mana satu yang bohong?. Apakah perakuan Abdul Hadi pada Tun M semalam dibantah oleh pimpinan Pas dan menjadikan perakuan Abdul Hadi satu pembohongan kepada Tun M. Atau Pas sedang berbohong pada Umno/BN menjadikan Umno-Bn sebagai mangsa kedua pembohongan selepas ahli dan pengundi Pas menjadi mangsa pertama.

Jadi, siapa yang sebenarnya berbohong? Tak mungkin Tun M yang berbohong. Sedangkan Presiden Pas dalam kenyataannya ketika media semasa Majlis Sambutan Tahun Baru Cina di Terengganu menyatakan yang beliau mahu melihat Melayu lebih kuat dalam kerajaan. Kalau mahu kedudukan orang Melayu kuat dalam kerajaan, sudah tentu tidak boleh bantu Umno-BN di Semenyih dan perlu menangkan calon Pakatan Harapan. Jadi, ada kebenaran kenyataan Tun M yang Presiden Pas menyatakan Pas tak akan sokong dan bantu Umno-BN di Semenyih.

Tindakan dan pendirian pimpinan Pas ketika ini seolah-olah flip-flop dan tidak konsisten, sesama mereka tidak menzahirkan pendirian yang sama. Tindak tanduk Pas ini telah menimbulkan persoalan siapa sebenarnya yang berbohong dalam kalangan pimpinan Pas. Adakah pimpinan Pas sedang pakat-pakat berbohong secara berjemaah. Sungguh kasihan kepada ahli Pas yang sangat terkeliru dengan tindak tanduk pimpinannya.

* Mahfuz Omar merupakan Naib Presiden AMANAH