Pas tak tolak saranan Dr. Zakir Naik, tapi bertegas tak sertai BN

Pas tak tolak saranan Dr. Zakir Naik, tapi bertegas tak sertai BN

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pas tidak menolak saranan mana-mana pihak termasuk Dr. Zakir Naik untuk mengadakan kerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara kebaikan dan ketakwaan demi untuk memperkukuhkan Islam dan perjuangan.

“Ini selaras dengan pendekatan yang sedang kita dilaksanakan iaitu ‘Budaya Politik Matang Sejahtera’,” kata Setiausaha Agung Pas, Dato’ Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan hari ini.

Pas katanya, sentiasa berpegang kepada dasar Islam yang mana salah satunya adalah bekerjasama dan tolong menolong dalam perkara kebaikan dan ketakwaan. Hal ini adalah berasaskan kepada Firman Allah yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu bekerjasama untuk melaksanakan kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bekerjasama pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”  (Surah Al Maidah: 2)

Menurutnya, ia juga berasaskan Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Tolonglah saudaramu yang zalim dan yang dizalimi. Lalu ditanya kepada Baginda, ‘Ya Rasulullah s.a.w. kami tahu untuk menolong orang yang dizalimi tapi bagaimana pula kami akan menolong orang yang zalim?’ Baginda menjawab, elak dan cegah mereka dari melakukan kezaliman itulah erti menolong mereka.”(Riwayat Imam Bukhari)

Begitu juga kata beliau Fasal 6(6) Perlembagaan Pas (Usaha-usaha) yang memperuntukkan, “Menyertai dan bekerjasama dengan badan-badan, persatuan-persatuan atau pertubuhan-pertubuhan yang tidak berlawanan tujuannya dengan Pas bila mana dan selama ianya mustahak dan sesuai serta tidak bercanggah dengan undang-undang negara.”

Bagaimanapun menurut beliau, Pas tetap berpegang teguh kepada keputusan Majlis Syura Ulamak PAS yang telah bersidang pada 2 Januari 2016 yang mengesahkan perkara sebagaimana di atas di samping menegaskan bahawa “PAS tidak akan menyertai Barisan Nasional”.

TAGS