Malaysia Dateline

Pas tawarkan kerajaan perpaduan selesaikan isu pembentukan kerajaan Perak

Datuk Takiyuddin Hassan
Datuk Takiyuddin Hassan

Pas menawarkan pembentukan kerajaan perpaduan di Perak dengan dianggotai semua parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) dengan syarat menteri besar adalah beragama Islam dan pemilihannya dipersetujui oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) beragama Islam.

Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan berkata keputusan bagi pembentukan kerajaan campuran itu dicapai pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pas Pusat dipengerusikan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Rusila hari ini.

Beliau dalam mesyuarat yang berlangsung lebih sejam itu Pas juga memutuskan untuk hanya menerima tawaran pembentukan kerajaan campuran itu dengan syarat majoriti daripada 10 Ahli Majlis Jawatankuasa Negeri (Exco) dipilih daripada kalangan Adun yang beragama Islam.

“Kalau tiada pihak yang bersetuju dengan syarat ini Pas tidak akan menyertai penubuhan kerajaan campuran di Perak dan akan kekal sebagai pembangkang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. Turut hadir Ketua Penerangan Pas Pusat Nasrudin Hassan Tantawi.

Takiyuddin berkata ketika ini kerajaan negeri Perak tidak dapat dibentuk kerana tiada sebarang parti yang mencapai majoriti mudah 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada PRU14 Rabu lepas yang membolehkan parti itu menubuhkan kerajaan negeri.