Malaysia Dateline

Pas Terangganu arah jentera hidupkan markas, pasang bendera

Pas Terengganu didakwa telah mengarahkan semua jentera pilihan raya di semua peringkat untuk mengambil langkah segera menghidupkan markas-markas Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

Dalam satu surat yang ditandatangani Setiausaha Perhubungan Pas Negeri Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid dikatakan telah memberi arahan agar persiapan awal mesti dilakukan semua jentera iaitu dengan membuka bilik gerakan atau operasi.

Surat yang tersebar dia media sosial itu juga menyebut, selain memasang papan tanda cawangan atau markas, Muhyidin telah mengarahkan jentera Pas untuk menaikkan bendera parti bagi persiapan PRU15 yang mungkin akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Surat berkenaan juga dilihat diedarkan kepada Setiausaha Pas Kawasan, Majlis Tindakan DUN, Unit Daerah Mengundi dan Setiausaha Pas Cawangan.