Pas Terengganu akan umum lima manifesto awal

Pas Terengganu akan umum lima manifesto awal

Pas Terengganu akan mengumumkan lima lagi manifesto awal Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kepada orang ramai sempena program Himpunan Harapan Semua-Pas Ganti Umno (Harap-PGU 3.7).

Pengarahnya, Ariffin Deraman berkata, ia akan menjadikan 15 perkara akan dilaksanakan oleh PAS Terengganu sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada PRU akan datang.

“Lima lagi janji kita kepada rakyat akan dibentangkan pada Harap-PGU 3.7 yang akan diadakan di Kampung Pengkalan Atap minggu hadapan, dari 27 hingga 29 Julai, Insya Allah.

“Pas komited dengan janji sebagaimana yang pernah kita lakukan ketika memerintah Terengganu pada tahun 1999 hingga 2004, kita beri tanah kepada rakyat,” ujarnya dipetik Harakahdaily.

Beliau berkata, pengumuman manifesto awal Pas itu akan disempurnakan oleh Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Ustaz Husain Awang pada majlis ceramah kemuncak Sabtu malam, 29 Julai.

Oleh itu, Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas negeri itu menyeru semua rakyat agar turun beramai-ramai bagi mendapatkan maklumat terkini dan perkembangan isu semasa.

Sementara itu, Ketua Persiapan Harap-PGU 3.7, Mohamad Nazari Alias berkata, kerja-kerja dijalankan mengikut perancangan bagi menjayakan program peringkat negeri Terengganu itu.

“Setakat ini sambutan yang cukup baik dari para petugas parti dan masyarakat setempat sebagai tuan rumah dan kerja-kerja persiapan sudah 80% berjalan dan dijangka semua prasarana dapat disiapkan sebelum program bermula,” katanya yakin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas gotong royong terakhir di tapak Harap-PGU 3.7 semalam.

Nazari yang juga Pengerusi MTD Batu Rakit mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan menzahir rasa bangga serta sukacita dengan kesungguhan para petugas yang bertungkus lumus menyiapkan persiapan.

“Selaku tuan rumah, saya ucapkan terma kasih kasih kepada semua dan saya mengalu-alukan kehadiran semua penduduk Terengganu yang jauh dan dekat.

“Datang bersantai bersama keluarga dan jangan lepaskan peluang untuk sama menjayakannya dengan penuh gemilang,” kata beliau.

TAGS