Pas Terengganu arah jentera sedia hadapi pilihan raya negeri mengejut

Pas Terengganu arah jentera sedia hadapi pilihan raya negeri mengejut

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Berlawanan dengan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu tidak berminat untuk menangguk di air keruh dan mengamalkan politik matang, Pas Terengganu semalam mengarahkan jentera pilihan raya parti agar bersedia menghadapi kemungkinan pilihan raya negeri.

Pesuruhjaya Pas negeri, Satiful Bahri Mamat mengarahkan kawasan-kawasan, Dun dan Unit Peti Undi (UPU) parti itu agar bersiap sedia memandangkan kebarangkalian pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu boleh berlaku dalam masa terdekat.

Pas katanya tidak menolak kebarangkalian bahawa Dun Terengganu akan dibubarkan dalam masa terdekat, lapor portal berita rasmi Pas, Harakahdaily.

Satiful berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup Taklimat Khas Pas Pusat Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Tarbiyah At-Taqwa (Komtaq) Pas Kuala Nerus, kelmarin.

“Tidak ditolak kebarangkalian bahawa Terengganu ini akan dibubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun). Boleh jadi ada dan boleh jadi tidak, sebab tidak tolak (kemungkinan).

“Politik ini macam bola, benda bulat. Jadi apa pun kita mesyuarat Dewan Harian baru-baru ini telah ambil keputusan semua kawasan, semua Dun dan juga UPU bersiap sedia dari sekarang.

“Selepas ini buka semula bilik gerakan, semak daftar pemilih, kemaskinikan data dan sebagainya, insya Allah jika dikatakan bila-bila masa loceng dibunyikan untuk ke medan perang, insya Allah kita bersedia.

“Roadmap kita menuju ke Wisma Darul Iman, kalau pun tidak pada PRU14 dan kalau masa terdekat pun insya Allah, dengan izin Allah Taala kita akan kembali ke Wisma Darul Iman,” jelasnya.

Abdul Hadi dalam satu kenyataannya semalam menjelaskan, Pas tidak berminat untuk menangguk di air keruh untuk berkuasa ekoran masalah yang dihadapi parti politik kawan dan lawan.

“Mengapa Pas tidak bersungguh menyokong usul undi tidak percaya menjatuhkan kerajaan pusat dan khususnya Terengganu yang paling dekat laksana dicapai tangan sahaja, kerana kerusi Adun Pas yang hampir mendekati majoriti mudah?

“Mengapa tidak bersemangat menyertai himpunan yang dianjurkan oleh pakatan pembangkang yang bersemangat bergabung dengan Umno yang memprotes pemimpinnya?

“Jawapannya kepada ahli Pas dan penyokongnya, bahawa nelayan yang bijak walaupun miskin, tidak boleh menangguk di air keruh yang ikannya bercampur belut, ular dan buaya, kerana membahayakan diri dan merosakkan jala dan pukat, bahkan boleh menenggelamkan perahunya serta membahayakan diri,” kenyataan Abdul Hadi dipetik.

TAGS