Pas terima lebih besar daripada RM90 juta

Pas terima lebih besar daripada RM90 juta

Tidak berganjak dengan dakwaan Pas menerima dana daripada Umno, Naib Presiden AMANAH, Datuk Husam Musa bertegas jumlah yang diterima lebih besar daripada RM90 juta.

Bercakap dalam slot “Terus Terang” anjuran INVOKE Malaysia, bekas pemimpin Pas itu berkata, beliau sendiri pasti maklumat tersebut tepat dan benar selepas melihat sumbernya.

“Jumlahnya lebih besar dari RM 90 juta. Saya hanya secara tegas menamakan nama Bank, iaitu Affin Bank.

“Saya masih berpendirian mempertahankan kenyataan saya itu. Saya tidak berganjak kecuali berkenaan jumlah,” ujarnya kembali mengulang isi ucapan beliau di Selising, Pasir Puteh sebelum ini.

Sedutan rakaman video berdurasi 1.24 minit oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor itu kemudiannya tular di media sosial pada Februari lalu.

Bagaimanapun, Husam berkata, terdapat kekangan Akta Kewangan atau di pihak bank di negara ini walaupun ramai rakyat Malaysia dan ahli Pas ingin tahu pembongkaran itu.

“Sejumlah wang telah disalurkan melalui Affin Bank kepada beberapa pihak yang berkaitan dengan kepimpinan Pas selain daripada transaksi runcit lain yang disalurkan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Pas mesti berterus-terang, tegasnya, dalam pelbagai cara yang boleh menunjukkan ketegasan termasuk mengadakan siasatan terhadap dakwaan tersebut.

“Saya berharap, walaupun saya tidak terlalu berani macam Rafizi atau orang lain, jika diizinkan dan proses mahkamah kompeten, mahkamah boleh memerintahkan bank berkenaan untuk mendedahkan akaun.

“Cara lain, Pas mesti berterus terang. Presiden Pas mesti tunjukkan ketegasan, (tapi) sampai hari ini tiada ketegasan. Bahkan Presiden Pas tidak banyak komen diberikan,” ujarnya.

Menurutnya, pengumuman Pas untuk mengenakan tindakan mahkamah ekoran dakwaannya itu bagaimanapun sudah tidak berbangkit lagi.

“Cadangan untuk menyaman saya sudah sunyi. Saya tidaklah nak mencabar.

“Pas pada mula telah beriya-iya menyaman saya. Saya difahamkan Pengerusi Lajnah Undang-undang Pas tekad untuk saman,” ujarnya dalam program yang dimoderatorkan Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh.

Tidak berminat

Datuk Husam Musa ketika wawancara dalam slot ‘Terus Terang’ di Invoke.

Mengulas lanjut, Husam berkata, transaksi dana tersebut yang sebelum ini disebut oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli tidak boleh dipadam memandangkan itu adalah sebahagian daripada rentetan transaksi berkenaan.

“Saudara Rafizi telah membuat Pengakuan Bersumpah yang sehingga hari ini tidak dicabar oleh Nasaruddin Mat Isa atau pemimpin Pas yang lain.

“Saya berpendapat (saya tidak peguam), ahli dan pimpinan Pas ada ‘locus standi’ untuk saman Rafizi jika Nasaruddin keberatan kerana ini telah menjejaskan Pas.

“Dengan itu, apa yang didakwa oleh Rafizi, boleh dibuktikan di mahkamah. Tetapi nampaknya semua pimpinan dan anggota Pas tidak berminat,” jelasnya.

Husam selanjutnya menyebut tentang tindakan pimpinan Pas sebelum ini terhadap tindakan saman oleh Najib ke atas Pas termasuk bekas Pengarah Urusan Harakah, Dr Rosli Yaakob berhubung penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Tengah jalan kes telah dipohon untuk selesai di luar mahkamah. Saya difahamkan Dr Rosli enggan pada waktu itu diselesaikan di luar mahkamah. Kes ini belum diselesaikan.

“Kenapa Pas di pertengahan jalan setuju penyelesaian luar mahkamah? Padahal kalau Pas tegas dalam penentangan terhadap penyelewengan 1MDB, sepatutnya dibiarkan kes ini dibicarakan di mahkamah.

“Tidak perlu ada rundingan atau terma penyelesaian dengan Najib. Yang menghairankan, Pas telah memilih untuk selesai di luar mahkamah,” tegasnya.

Beliau yang pernah dilantik sebagai Naib Presiden Pas antara 2011 hingga 2015 itu berpendapat, perubahan ketara pendirian Pas tentulah mempunyai sebab tertentu.

“Isu ini berkait. Isu yang sama. Wang dari 1MDB atau tidak, digunakan untuk Pas menukar pendirian politik.

“Jumlah tidak lagi penting. Yang penting adalah termasuk Pas sebagai sebuah parti Islam yang dulu lantang dan tegas, yang letakkan Umno sebagai parti lawan yang tidak harus didekati, tiba-tiba Pas telah ambil pendekatan yang berbeza,” bidasnya.

Husam berkata, perubahan sikap Pas itu wajar menimbulkan tanda tanya sama ada berkaitan dengan ‘brainwash’ daripada agensi seperti Biro Tata Negara (BTN) yang mengaitkan DAP, Cina dan kaum lain sebagai ancaman sehingga menenggelamkan isu 1MDB dan kepincangan pengurusan Felda.

“Ini peralihan pendirian politik yang sangat ketara atau sesetengah pemimpin Pas. Tidak semua pimpinan Pas yang sanggup dibeli sebab itu ada pandangan yang berbeza dalam Pas seperti isu 1MDB, isu kerjasama Umno.

“Kebelakangan ini, suara-suara ini pun sudah tidak kedengaran lagi. Suara Tuan Ibrahim kritik Felda dan 1MDB sekarang sudah tidak ada. Mereka berlayar dalam kapal mewah yang tidak tahu ke mana.

“Mereka ada dalam keadaan seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku kepada negara kita. Sesuatu berlaku mesti ada sebab apatah lagi dalam politik,” tambah Husam lagi.

7.0
OVERALL SCORE
5 user votes x 8.4