Pas terpinggir dari arus perdana politik negara kerana gopoh, dakwa AMANAH

Pas akan menang lebih besar jika bersama Pakatan Harapan, kata Khalid.

Sifat gopoh dan kurang yakin kepada pendekatan yang diikutinya sejak zaman reformasi telah menyebabkan Pas semakin terpinggir dari arus perdana politik negara, dakwa AMANAH.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berkata, walaupun akan ada yang berkata bahawa Pas telah berjaya dengan keputusan antara yang paling cemerlang dalam sejarahnya, hakikatnya ianya sebenarnya boleh jauh lebih baik dari itu.

“Ia kembali sebagai parti pantai timur dan kawasan kampung Melayu setelah beraksi cergas di pantai barat dan kawasan bandar pada tahun-tahun pasca reformasi,” kata Khalid.

Bagi beliau, cogan kata “Pas for all” kian tidak kedengaran dan Pas kembali sebagai parti bersifat eksklusif memperjuangkan agenda khas bagi masyarakat Muslim dan Melayu.

“Kalau kita berhenti sejenak dan meninggalkan alam realiti dan menyelak seketika melalui imaginasi kita, mengintai pada ‘alam mungkin terjadi’, hanya yang beragenda akan menafikan bahawa Pas pasti mendapat kemenangan jauh lebih besar sekiranya ia telah istiqamah bersama Pakatan.

Sepertimana yang diperjuangkan oleh bekas pimpinannya yang akhirnya menubuhkan AMANAH, Pas akan dapat mengecapi kemenangan di peringkat Persekutuan juga.

“Tetapi malangnya bagi Pas, mereka terpengaruh, mungkin dengan keyakinan Najib, bahawa dia akan kekal sebagai Perdana Menteri
pasca PRU ke 14.

“Keyakinan Najib ini terhasil dari poket-poket yang sarat dengan duit rakyat untuk digunakan untuk membeli kembali sokongan rakyat!” kata Khalid dalam tulisannya di akhbar Mingguan Amanah yang bakal keluar Jumaat esok.

Bagi Khalid, sekiranya Pas kekal dalam Pakatan, berdasarkan keputusan yang diketahui sekarang, paling kurang 36 lagi kerusi di Semenanjung yang dimenangi BN akan jatuh kepada Pakatan.

“Ini adalah kerana 36 kerusi ini dimenangi BN atas sebab undi berpecah antara PAS dan PH,” tulis Khalid yang menang di parlimen Shah Alam dengan majoriti lebih besar kali ini.

IKUTI TULISAN PENUH DALAM MINGGUAN AMANAH.

 

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
3 user votes x 10.0
CATEGORIES
TAGS