Malaysia Dateline

Pas terus membisu seperti menghalalkan judi

Pemuda AMANAH membidas Pas yang terus membisu dalam isu kekerapan cabutan khas nombor ramalan ditambah pada tahun 2021 setelah menjadi sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional hari ini.

Naib Ketua Pemuda AMANAN Nasional Muhamad Khairul Mohd Ali berkata, PAS sebelum ini siang dan malam membuat propaganda bahawa Pakatan Harapan membiarkan aktiviti judi berleluasa sedangkan Pakatan Harapan mengambil langkah sebaliknya.

Kerajaan Perikatan Nasional secara senyap-senyap didakwa telah meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan 4 digit daripada 8 kali setahun pada tahun ini kepada 22 kali pada tahun hadapan.

Berbeza sewaktu Pakatan Harapan setelah menjadi kerajaan telah mengurangkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan 4 digit sebanyak 2 kali iaitu pada tahun 2018, dikurangkan daripada 22 kepada 11, dan sekali lagi pada tahun 2020 daripada 11 kepada 8 kali cabutan sahaja setahun.

“Kini setelah Perikatan Nasional menjadi kerajaan, cabutan nombor ramalan ini dinaikkan 2 kali ganda. Dan PAS membisu dalam isu ini seolah-olah menghalalkan keputusan yang dibuat bersama Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, ramai yang terlibat dengan aktiviti nombor ramalan ini adalah golongan B40, lebih-lebih lagi, dalam situasi pandemik sekarang, rakyat tertekan dengan pendapatan yang semakin berkurangan.

“Dalam keadaan tertekan, tidak mustahil mereka mencuba nasib melalui nombor ramalan dengan harapan memperoleh habuan lumayan.

“Kesannya ramai yang akan ketagih kepada aktiviti perjudian dan memberi kesan kepada masalah sosial yang lain,” kata beliau.

Justeru, Pemuda AMANAH Nasional menggesa Kerajaan Muhyiddin segera menarik balik keputusan meningkatkan cabutan nombor ramalan dan mengurangkan lekerapan cabutan khas nombor ramalan.