Malaysia Dateline

Pas tetap sokong Umno di Semenyih tapi tahap komitmen berbeza

Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan memberitahu, partinya akan tetap menyokong Umno dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih tetapi tahap komitmen serta kadar penglibatan berbeza berbanding ketika PRK Parlimen Cameron Highlands lalu.

Menurutnya dalam sidang akhbar sejurus selesai Mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas Pusat di Pejabat Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) di Masjid Rusila petang tadi, hal tersebut atas faktor pertandingan di peringkat Dun.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, ketetapan tersebut selaras dengan pendirian konsisten Pas yang meletakkan kepentingan Islam dan Melayu mengatasi yang lainnya di samping mengekalkan hubungan dengan Umno atas dasar perpaduan ummah dan solidariti pembangkang.

Beliau turut memberitahu tiada apa-apa perakuan atau surat bertulis berkaitan PRK Semenyih sebaliknya hanya dibincangkan secara lisan antara Tun Dr. Mahathir dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Secara lisan kita menyatakan kepada beliau pendirian tidak bertanding dalam PRK DUN Semenyih di samping tahap penyertaan dan komitmen berbeza dengan PRK Parlimen Cameron Highlands,” kata Takiyuddin.

Selain beliau, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Abdul Hadi itu disertai Naib Presiden, Idris Ahmad dan Datuk Nik Mohd. Amar Nik Abdullah; Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed dan Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali.

Turut hadir, Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan; Ketua Dewan Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd. Salleh.

Semalam, Mahathir memberitahu Pas menyatakan perakuan untuk tidak memberikan sokongan kepada Umno dan BN dalam PRK Semenyih.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata pertemuan kali kedua dengan Abdul Hadi di pejabatnya di Yayasan Al-Bukhari adalah atas permintaan pemimpin Pas berkenaan.