Pas tiada dalam senarai Menteri Kanan

Pas tiada dalam senarai Menteri Kanan

Tiada wakil Pas yang dilantik sebagai menteri kanan dalam Kabinet kerajaan di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya, Perdana Menteri melantik dua menteri dari Bersatu dan masing-masing seorang menteri dari Umno dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Menteri dari Bersatu ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri manakala Mohd Radzi Md Jidin dilantik sebagai Menteri Pendidikan.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula dinamakan sebagai Menteri Pertahanan dan Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof memegang jawatan Menteri Kerja Raya.

Untuk rekod, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Muhyiddin dianggotai Bersatu, Barisan Nasional (BN), Pas dan GPS.

Kesemua menteri kanan tersebut akan membantu Muhyiddin menyelaras hal ehwal Kabinet berkaitan bidang ekonomi, keselamatan, pembangunan infrastruktur serta pendidikan dan sosial.

Mereka turut akan menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri termasuklah mempengerusikan mesyuarat Kabinet ketika ketiadaan Muhyiddin dalam negara.

Sehubungan itu, Muhyiddin dalam pengumuman barisan Jemaah Menterinya hari ini berkata, tiada keperluan pada masa sekarang untuk seorang Timbalan Perdana Menteri dilantik.