Malaysia Dateline

Pas tiada hak ambil bangunan Wisma Tok Guru, kata Husam

Parti AMANAH Negara Negeri Kelantan menyifatkan tindakan sekumpulan ahli dan penyokong Dewan Pemuda Pas negeri itu melakukan provokasi di hadapan bangunan Wisma Tok Guru di Salor, dekat Kota Bharu malam tadi, sebagai kebudak-budakan.

Pengerusinya, Datuk Husam Musa berkata, ketika kejadian beliau dalam perjalanan pulang ke rumah di Kota Bharu selepas menghadiri Konvensyen AMANAH di Alor Setar, Kedah.

“Saya baru sampai dari Alor Setar hadir Konvensyen Amanah, petugas AMANAH dan Pakatan Harapan (PH) Kelantan datang jumpa saya memaklumkan tindakan sekumpulan Pemuda Pas di Wisma Tok Guru.

“Saya dapat tahu, Pemuda Pas memacak (memasang) bendera parti di bangunan itu. Terima kasihlah kepada Muhammad Khalil Abdul Hadi (Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia) datang dari jauh nak pasang bendera Pas,” katanya dalam reaksinya berhubung kejadian itu seperti dilapor Malaysiagazette.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, sekumpulan lebih 150 penyokong Pemuda Pas Kelantan termasuk Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari dan Muhammad Khalil berkumpul di pekarangan Wisma Tok Guru untuk memasang bendera.

Bagaimanapun, usaha mereka cuba dihalang sekumpulan penyokong PAN dan PH negeri diketuai Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan yang berada di situ lebih awal sebaik mengetahui rancangan kumpulan Dewan Pemuda Pas untuk ‘mengambilalih’ bangunan pejabat itu.

Wisma Tok Guru yang terletak di Kampung Pendek, Salor, dekat Kota Bharu menjadi perebutan antara Pas dengan AMANAH kerana masing-masing mendakwa bangunan itu milik mereka.

Mengulas lanjut, Husam berkata, bangunan dan tanah yang menempatkan Wisma Tok Guru itu masih dalam pertikaian.

Katanya, tapak tanah itu dibeli seorang ahli Pas, Mohd Yasin Yusof daripada isteri seorang aktivis politik, Allahyarham Datuk Rosli Ibrahim, tetapi daripada segi undang-undang tuan punya bangunan itu ada hak yang setara.

“Notis diberikan Mohd Yasin kepada saya 30 hari, tempoh itu belum lagi tamat, tetapi Pemuda Pas sudah gopoh hendak mengambil alih bangunan ini.

“Ini menunjukkan Muhammad Khalil dan Ahmad Shaari tidak tahu undang-undang. Kerana tidak sabar dan terlalu ikut nafsu ataupun mungkin mereka tidak ada kerja lain, mereka sampai awal dari notis,” katanya.

Beliau berkata, daripada segi undang-undang, tindakan Pemuda Pas itu salah kerana yang memberi notis kepadanya bukan Pas, tapi Mohd Yasin.

Katanya, Pas bukan sahaja tidak boleh daftar bangunan itu atas nama parti berkenaan, tetapi tidak ada hak dalam pertikaian itu.

“Lainlah kalau Mohd Yasin menghibahkan tanah ini kepada Pas, tapi hibah itu tidak berlaku,” katanya yang telah memfailkan ke mahkamah mengenai pertikaian itu.