Pas tiada hala tuju bersama Berjasa, Isma

Pas tiada hala tuju bersama Berjasa, Isma

Abdullah Suady Ramadhan Mohd Nasir

Sikap tidak konsisten pimpinan Pas dalam menentukan hala tuju mereka menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 yang akan datang, seolah-olah mempamirkan parti tersebut semakin tidak mempunyai hala tuju dengan rakan pakatannya dalam Gagasan Sejahtera.

Istilah ‘King Maker’ dan ‘Third Force Party ‘ bukanlah kalimat baru dalam sejarah politik, sehinggakan akhirnya kumpulan ini hanyalah sebagai ‘pengacau daun’ dalam persaingan pilihan raya.

Demikian pandangan Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Negeri Kedah, Abdullah Suady Ramadhan Mohd Nasir.

Beliau berkata,  sejarah PRU yang lalu telah membuktikan munculnya Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) yang ditaja oleh sebuah kumpulan kemelayuan yang bergelar Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Namun begitu katanya, kekerdilan Berjasa maupun Isma sendiri tidak mempunyai daya saing dan kemampuan bagi menyekat kebangkitan gelombang rakyat ketika itu.

“Akhirnya Pakatan Rakyat telah berjaya memperolehi undi popular melebihi 50 peratus.

“Keputusan ini telah menimbulkan ketidaktentuan bagi Barisan Nasional tatkala itu.

“Usaha untuk mewujudkan UG ataupun menjinakkan Pas berlaku sehinggalah kemuncaknya selepas meninggalnya Allahyarham Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, ” ujarnya.

Abdullah yang juga merupakan Ketua Pemuda AMANAH kawasan Sungei Petani turut berkata, impak daripada tindakan tersebut, bukan sahaja 18 pimpinan utama Pas telah dibuang dengan perancangan rapi, sebaliknya perancangan dan tindakan politik Pas semakin bercelaru.

“Mereka bukan sahaja mensasarkan 40 kerusi Parlimen, sebaliknya hanya mengharapkan menjadi kuasa penentu atau ‘king maker’.

“Selepas itu sasaran untuk bertanding meningkat dan akhirnya untuk bertanding pula lebih 130 kerusi Parlimen.

“Secara jelas ini memperlihatkan ketidakyakinan Pas dalam menghadapi PRU yang akan datang, ” tegasnya.

Tambah beliau lagi, lebih menghairankan apabila kepimpinan parti tersebut semakin bercelaru dan menjadi parti was-was yang tidak jelas hala tuju mereka yang sebenar.

Sehubungan itu katanya, parti yang masih belum konsisten dan ‘confident’ untuk meletakkan identiti diri mereka yang sebenar dalam persada PRU yang akan datang, mestilah dinyahkan serta tidak diberi apa jua dokongan maupun sokongan.

 

3.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 6.0