Pas tiada jiwa juang untuk rakyat, kata calon PH

Pas tiada jiwa juang untuk rakyat, kata calon PH

Mukhriz Mahathir ketika hadir di ceramah di Tasek Gelugor semalam.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia Pulau Pinang, Marzuki Yahaya menyifatkan Pas sebagai sebuah parti yang semakin rapuh dan tidak lagi mempunyai semangat juang yang kental untuk membela nasib rakyat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah sempena pilihan raya umum (PRU) di perkarangan Pusat Komersial Tasek Gelugor semalam.

Jelas beliau lagi, sokongan yang ditunjukkan oleh Nik Omar Nik Aziz membuktikan bahawa beliau sendiri tidak lagi menyokong kepimpinan Pas kini.

Malah katanya, pendirian yang ada pada Nik Omar harus dihormati dan tidak dipertikaikan walaupun ianya tidak seiring dengan kehendak Pas.

Sekaligus ia memperlihatkan Pas tidak lagi mampu untuk meraih sokongan yang mereka harapkan menjelang PRU 9 Mei nanti.

“Pas sendiri semakin rapuh dan tidak lagi memperlihatkan perjuangan seperti sebelumnya.

“Jika dahulu mereka begitu bersungguh-sungguh menentang kerajaan yang zalim dan menganiayai rakyat, namun begitu ia semakin jelas berubah kini.

“Apa yang dipertontonkan seolah-oleh merestui kezaliman yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan Umno dan BN, ” ujarnya lagi.

Hadirin yang mendengar ceramah pimpinan Pakatan Harpan di Tasek Gelugor semalam.

Beliau juga berkata, sudah pasti Nik Omar telah mempunyai justifikasi beliau terhadap kepimpinan Pas sedia ada.

“Pas kini menyerlahkan lagi sokongan mereka kepada Umno sehingga menyebabkan ramai dikalangan penyokongnya beralih kepada AMANAH dan juga Pakatan Harapan.

“Sebagaimana kita semua sedia maklum, dasar yang dibawa oleh Umno dan BN banyak menyulitkan kehidupan rakyat dan membebankan.

“Setelah begitu jelas parti yang memerintah sedemikian mengenakan pelbagai polisi yang mencengkam hidup golongan miskin serta bawahan maka untuk apa lagi perlu didokong perjuangan Umno dan BN, ” tanya beliau lagi.

Beliau yang juga merupakan calon PH bagi Parlimen Tasek Gelugor turut menyeru agar pengundi khususnya dalam Parlimen Tasek Gelugor berani membuat perubahan kali ini.

“Cukai GST yang kita tentang selama ini adalah kerana ia menekan rakyat dan menzalimi golongan miskin dan berpendapatan rendah.

“Kita tidak mahu menyokong Umno dan BN sebab mereka bersikap tidak adil kepada rakyat dengan menjadikan yang kaya bertambah kaya, manakala yang miskin bertambah miskin.

“Peluang pekerjaan semakin terhad serta tidak disediakan oleh kerajaan, sedangkan lambakan lepasan universiti semakin bercambah, ini merupakan suatu penganiayaan kepada golongan tersebut, ” katanya.

Justeru itu serunya, mengekalkan pemerintahan Umno dan BN untuk tempoh lima tahun lagi akan lebih menyusahkan rakyat.

Samada mahu atau tidak tambahnya, rakyat mesti bangkit, tolak Umno dan BN serta Pas tanpa memberi sekelumit sokongan menjelang PRU minggu depan.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote