Pas tidak akan menang walau satu kerusi di Selangor

Institut Darul Ehsan (IDE) menyangkal tanggapan Pas mempunyai pengaruh besar pada pilihan raya umum akan datang berdasarkan pola kehadiran peserta yang ramai dalam program anjuran parti itu, malah selain Kelantan, pengaruh Pas di negeri-negeri lain jatuh merudum dan diramal tidak akan memenangi sebarang kerusi di Selangor.

Timbalan Pengerusinya, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bukan sekadar bergantung pada khalayak dan jentera pilihan raya semata-mata.

“Memang kalau kita lihat ramainya orang hadir itu dijadikan alasan pemimpin Pas untuk mengatakan partinya masih berpengaruh.

“Terbukti sehingga PRU-13, walaupun saya tidak menolak jumlah yang hadir dalam kempen yang diadakan tetapi itu bukan satu indikator.

“Pilihan raya bukan semata-mata disumbangkan oleh jentera. Kalau mereka yakin (dengan sambutan orang ramai indikator pengaruh Pas), saya hormati tetapi kajian kami mendapati tidak semestinya hal itu berlaku,” jelasnya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan semasa sidang media Survei Malaysia 2018: Kecenderungan Mengundi Menjelang PRU-14: Siapa Pilihan Rakyat Malaysia? di Shah Alam petang tadi.

Dr Mohammad Redzuan (foto) berpendapat Pas berpotensi untuk mempertahankan Kelantan yang dikuasai sejak 1990 dalam keadaan 50:50 memandangkan BN juga mempunyai peluang sama untuk merampas kerajaan negeri tersebut.

“Satu kelebihan Pas, mereka berjaya menguasai institusi berkaitan rakyat iaitu masjid dan surau.

“Bagi masyarakat Melayu, ini mempengaruhi (sokongan). AMANAH mengalami kesukaran untuk menguasai institusi ini.

“Walaupun (timbul isu) RUU355, ‘tape’ (tentang Pas terima duit Umno) tapi disebabkan elemen kemasyarakatan, pengaruh Pas masih kuat (di Kelantan),” ujarnya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, sokongan pengundi kepada Pas di Selangor dan di peringkat nasional semakin merudum ekoran perubahan sokongan kumpulan pemilih yang mengundi Pas pada PRU-13 atas kapasiti mewakili Pakatan Rakyat.

“Trend menunjukkan undi popular Pas di Selangor dan nasional semakin menurun. Dulu 18 peratus, kini tinggal 13 peratus.

“Berbeza di Kelantan, jumlah ahli Pas ramai dan dalam kalangan mereka walak (setia kepada pimpinan). Di Kelantan, kesetiaan (kepada Pas) itu luar biasa.

“Tetapi keputusan turut ditentukan pengundi Kelantan yang bekerja dan tinggal di Lembah Klang. Adakah mereka balik (ke Kelantan) beramai-ramai (untuk PRU-14)? Mereka ini nanti menentukan siapa yang akan menang,” hujahnya.

Turut ditanya tentang dakwaan pimpinan Pas bahawa mereka adalah ‘king maker’ pada PRU-14, Dr Mohammad Redzuan menjawab parti tersebut dijangka tidak akan memenangi satu kerusi sekali pun di Selangor.

“Mereka tidak dapat satu kerusi. Agak malang setelah mencapai satu kejayaan besar (pada PRU-13), pemimpin-pemimpin terdahulu telah mendapatkan keyakinan bukan Melayu dengan cukup susah dan usaha bertahun-tahun, kalau tidak mencatatkan kejayaan yang besar seperti sebelum ini, maka parti itu mengalami satu pengunduran ke belakang,” katanya lagi.

8.8
OVERALL SCORE
: 5.0
5 user votes x 9.6
CATEGORIES
TAGS