Malaysia Dateline

Pas tidak bawa agenda Islam dalam kerajaan PN

Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan menyifatkan Pas tidak membawa agenda Islam walaupun kini sudah berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Berbeza ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH), parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu, katanya, kerap menyalahkan DAP dan kerajaan sebelum ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab keluhan rakannya ahli kumpulan tabligh yang mengeluh siaran televisyen seperti tidak mengharapkan reda Allah ketika dilanda musibah Covid-19.

“Semalam, saya dihubungi sahabat yang acap keluar bersama jemaah tabligh. Dia agak sedih bila melihat suasana Malaysia hari ini. Katanya, tiap-tiap hari kita dengar ada sahaja berita kematian kerana penyakit Covid-19.

“Tapi siaran tv langsung tidak menunjukkan kita ini mengharapkan reda Allah SWT. Jika dulu ketika peristiwa MH370 setiap sejam akan ada surah al-Fatihah di tv. Hari ini?

“Saya cuma balas. Pas dalam kerajaan tak bawa agenda Islam pun. Dulu sikit-sikit salahkan DAP,” katanya dipetik dari Facebook beliau.

Hazmi yang juga Ketua AMANAH Pengkalan Chepa berpendapat bukti Pas yang tidak dilihat untuk membawa agenda Islam dalam kerajaan PN juga dapat dilihat dalam serangan terhadap jemaah tabligh ekoran jangkitan Covid-19.

“Sekarang ini, DAP tidak ada dalam kerajaan, tak nampak pun Pas bawa (agenda) Islam.

“Ketika kumpulan tabligh difitnah kerana Covid-19, tiada seorang pun pemimpin Pas bela,” tegasnya.

Untuk rekod, perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling sehingga 13 April lalu kekal sebagai kluster terbesar, mewakili 40 peratus daripada jumlah keseluruhan pesakit yang disahkan positif Covid-19.

Sehingga 17 April lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyenaraikan 30 kluster dan subkluster individu yang dijangkiti pandemik itu.

Antaranya, kluster Sendayan, Flat Kampung Baru, madrasah Sungai Lui dan kilang di Pasir Gudang selain kluster petugas kesihatan Sabah, Muar, Gombak dan Kuching.

Batu api

Mengulas tentang pemilihan Mufti Wilayah Persekutuan, Hazmi berkata, Pas nampaknya lebih bertindak sebagai batu api pertembungan antara golongan asha’irah maturidi dengan salafi.

“Sepatutnya, kalau Pas itu parti yang bawa agenda Islam dan kini dalam kerajaan Persekutuan, bawalah agenda kukuhkan umah Islam.

“Dan satu lagi, kalau nak cam orang Pas, tengok komen bawah (ruangan komentar), itu biasa orang Paslah.

“Sebab sehingga kini, tiada satu pun lagi arahan parti dia supaya tunjuk sikap penyokong parti berkerajaan,” bidasnya.

Beliau menambah penyokong tegar Pas juga dilihat masih lagi bercakap sama seperti parti pembangkang walaupun sudah menganggotai kerajaan.

“Kekal sama mulut hodoh dan berpuak kepartian. Tak semua, tapi banyak yang begitu,” ujarnya lagi.