Malaysia Dateline

Pas tidak bersama Umno di Perak, MN pecah?

Pas telah membuat ketetapan untuk tidak menyertai usaha pembentukan kerajaan negeri Perak yang baharu.

Dalam kenyataan, Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan berkata, keputusan tidak menyertai kerajaan baharu itu selaras dengan pendirian yang dibuat oleh Lajnah Politik Pas Pusat.

“PAS mengambil maklum keputusan Usul Keyakinan Majoriti Ahli Dewan terhadap YAB Menteri Besar Perak yang telah berlangsung di dalam Dewan Undangan Negeri Perak hari ini di mana tiga ADUN Pas menyokongnya selaras dengan pendirian yang dibuat oleh Lajnah Politik PAS Pusat,” katanya.

Justeru, Pas akan terus berperanan sebagaimana biasa dalam masyarakat di peringkat negeri mahupun nasional.

Terdahulu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Faizal Azumu tewas dalam undi percaya yang dikemukakan oleh Adun Pengkalan Baru dari Umno, Abd Manaf Hashim.

Usul tersebut kemudian disokong Ahli Parlimen Kenering, Mohd Tarmizi Idris (Umno) yang kemudiannya mengundi untuk tidak menyokong Ahmad Faizal.

Sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya manakala satu undi rosak atau berkecuali.