Malaysia Dateline

Datuk Seri Ahmad Said

Pas tidak boleh dijadikan sahabat, kata Mat Said

Umno Terengganu menyifatkan Pas bukanlah sebuah parti yang boleh dijadikan sahabat kerana Pas sentiasa mementingkan kelompok dalam kalangan mereka sahaja.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Said berkata, Pas bercakap soal memperjuangkan agama tetapi bukan agama yang menjadi dasar perjuangannya.

“Bercakap soal adil, tetapi adil bukanlah perjuangan Pas,” bidas Ahmad Said ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kemaman di Dewan Seri Amar, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) hari ini.

Bahkan beliau mengakui Muafakat Nasional tidak wujud di Terengganu apabila kerajaan Pas Terengganu tidak berlaku adil terhadap wakil rakyat Umno BN.

Ahmad mendakwa agihan peruntukan RM10 juta daripada kerajaan Pusat bagi menangani pandemik Covid-19 tidak diberikan sama rata kepada wakil rakyat.

Katanya, berbanding dengan kerajaan BN Pahang yang bertindak mengagihkan sama rata tidak kira wakil rakyat sama ada Umno, Pas dan PKR.

“Di Perlis dan Pahang, peruntukan itu diagihkan sama rata, tetapi di Terengganu tidak berlaku kerana tiada perbincangan berhubung agihan itu,” katanya.

Apa yang berlaku di Terengganu, kata beliau, wakil rakyat Umno hanya mendapat peruntukan RM45,000 berbanding wakil rakyat Pas sebanyak RM350,000 dan RM305,000 kepada Pejabat Penyelaras DUN yang dikendalikan Pas.

Justeru beliau berkata, pada PRU15 nanti Umno Terengganu tidak akan bekerjasama dengan Pas dan Bersatu bahkan Umno akan meletakkan calonnya di semua lapan kerusi di Parlimen dan 32 kerusi di DUN.

“UMNO juga akan merampas semula kerusi Parlimen Hulu Terengganu daripada Bersatu pada PRU15 kerana kerusi itu sebelum ini merupakan kerusi tradisi milik UMNO.

“Kita mahu ambil semula kerusi yang telah ‘lompat’ dan siapa yang mahu bertanding di situ perlu lawan dengan kita,” katanya.